Jumaat, 18 November 2022 | 3:51pm
Khutbah solat Jumaat di Perak menekankan betapa mustahaknya untuk seseorang pengundi melakukan pertimbangan lebih teliti dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui kepemimpinan negara. - Foto hiasan
Khutbah solat Jumaat di Perak menekankan betapa mustahaknya untuk seseorang pengundi melakukan pertimbangan lebih teliti dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui kepemimpinan negara. - Foto hiasan

Khutbah solat Jumaat di Perak saran pengundi lebih teliti pilih pemimpin

IPOH: Khutbah solat Jumaat di Perak menekankan betapa mustahaknya untuk seseorang pengundi melakukan pertimbangan lebih teliti dalam memilih pemimpin yang bakal menerajui kepemimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi khutbah bertajuk `Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri', ia mengajak masyarakat yang layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi supaya tidak mensia-siakan kertas undi kerana ia dibayar daripada duit pembayar cukai.

Dengan pengisytiharan cuti pada hari ini dan esok, ia juga diharapkan dalam memudahkan rakyat meluangkan masa mereka dengan menunaikan tanggungjawab berkenaan kepada negara.

"Jemaah yang dilimpahi petunjuk Ilahi, sudah tiba masanya untuk mengubah yang buruk kepada yang baik dan langkah untuk menjernihkan air yang keruh.

"Betulkan yang biasa dan biasakan diri dengan yang betul. Pilihan yang dilakukan akan menentukan kehidupan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Sempurnakan rukun kenegaraan seorang rakyat, sempurnakan tanggungjawab fardu kifayah seorang Muslim, ikhlaskan niat menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk pergi mengundi agar dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT," menurut teks khutbah berkenaan.

Pada hari pengundian esok, khutbah mengesyorkan beberapa kriteria sebagai panduan buat pengundi agar memilih pemimpin yang berwibawa dalam menguruskan hal ehwal negara.

Khutbah menyenaraikan persoalan buat pengundi untuk bermuhasabah siapakah antara calon yang berupaya mengangkat martabat dan memakmurkan negara? Siapakah antara calon yang memiliki imej bersih dan bebas daripada rasuah?

Ia termasuk persoalan siapakah antara calon yang memiliki kekuatan dan bukan boneka atau patung yang begitu lemah serta tidak memiliki kekuatan jati diri lalu terlalu mudah tunduk kepada tekanan?

Selain itu, khutbah juga melontarkan persoalan kepada pengundi berkisar siapakah antara calon yang berupaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur serta dihormati di peringkat antarabangsa?

Khutbah turut menitipkan ingatan buat pengundi dalam bentuk gurindam yang berbunyi;

Kalau mencari tempat mandi,

Pertama teluk kedua pantai;

Kalau mencari pemimpin negeri,

Pertama elok, kedua pandai.

"Lakukan pilihan dengan hati, akal dan fikiran yang waras dengan menilai sifat, watak, sikap dan pendirian calon. Pilihlah calon yang memiliki peribadi yang jujur dan ikhlas, memiliki akhlak dan budi pekerti mulia, berilmu dan berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan.

"Pilihlah pemimpin yang memiliki pertamanya sifat al-qawi, bermaksud berkemampuan, berkebolehan, berkepakaran dan mahir dalam melaksanakan tugas dan kedua, bersifat al-amin, bermaksud amanah, bertanggungjawab dan berintegriti, tidak menyeleweng, tidak khianat dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan hingga bersedia menggadaikan maruah diri serta bangsa.

"Ketiga, buktikan azam memerangi rasuah melalui kertas undi kita dengan menolak dan tidak memberikan undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah. Buktikan tekad kita menolak rasuah dengan tidak membenarkan diri kita boleh dibeli dengan sogokan wang hingga kita memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat mengandungi wang," katanya.


Suara Kita

Berita Harian X