KUALA LUMPUR : Umat Islam diwajibkan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 esok untuk menentukan masa depan Islam, negara dan umatnya.
Malah, mereka yang mengabaikan tanggungjawab itu dianggap berdosa, melanggar perintah dan suruhan Allah.
Khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh masjid di Selangor hari ini, turut mengingatkan umat Islam supaya mengelak memilih pemimpin tidak amanah dan tidak berupaya menjaga Islam dan syariatnya.
"Islam juga melarang menyokong pemimpin yang meminta jawatan dan mendapatkan jawatan melalui cara tidak baik dan tidak mampu berlaku adil.
"Masa depan Islam dan negara adalah di tangan kita semua,
maka memilihlah dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan dengan logik akal, amarah, dendam dan permusuhan," menurut teks berkenaan.
Katanya, mengundi dalam pilihan raya bertujuan membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab.
"Jika pemimpin dipilih tidak tepat dan tidak layak, kepentingan masyarakat dan negara tidak dapat diberi keutamaan sewajarnya.
"Umat Islam mesti melaksanakan sistem perundangan dan permuafakatan yang menjamin kemakmuran rakyat dan negara. Pilihan raya adalah cara penting bagi memenuhi
kewajipan ini," katanya.
Katanya, umat Islam tidak sewajarnya memilih calon dari kalangan orang Islam yang memiliki sifat melakukan maksiat secara terang-terangan, memusuhi Allah, Rasul dan orang beriman.
Sebaliknya, pemimpin itu mesti memiliki keimanan, berilmu, berakhlak dan beramal soleh.
"Pengundian adalah persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat," katanya.
Katanya, seorang pemimpin Islam yang dipilih kelak wajib sentiasa berjuang membela rakyat, mensejahterakan rakyat dan mengurus keperluan dan kehendak rakyat dengan berhemah dan berhikmah, adil dan saksama.
"Pemimpin hendaklah menjadi pelindung dan pembela rakyat yang lemah dan sentiasa memimpin rakyat ke jalan kebenaran dan menegakkan syariat.
"Kezaliman pemimpin berpotensi membinasakan rakyat. Apabila pemimpin tidak amanah, berpotensi memusuhi Allah, Rasul dan syariat Islam, maka pemimpin sebegini tidak layak dipilih, kerana bukan sahaja mudarat kepada umat Islam, bahkan akan memudaratkan masyarakat dan negara seluruhnya," katanya.