PUTRAJAYA: Khutbah Jumaat hari ini mengajak rakyat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kerajaan yang bakal menerajui pentadbiran negara.
Khutbah bertajuk Tuntutan Memelihara Kemakmuran itu memberi peringatan demi memastikan negara yang dicintai ini terus aman makmur dan sejahtera di bawah teraju pimpinan yang berwibawa.
Khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu juga mengingatkan walau siapa pun yang bakal diangkat menjadi pemimpin, semua pihak perlu menerima dan memberikan ketaatan serta sokongan selagi ia tidak bertentangan syariat Islam.
"Esok, seluruh rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk memilih kerajaan yang bakal menerajui pentadbiran negara. Marilah kita tunaikan tanggungjawab ini demi memastikan negara yang kita cintai ini terus aman makmur dan sejahtera di bawah teraju pimpinan yang berwibawa.
"Hentikanlah segala perlakuan yang merugikan seperti menimbulkan provokasi, menyebarkan fitnah, memaki hamun dan sebagainya.
"Marilah bersama kita kembali bersatu sebagai warga rakyat Malaysia yang cintakan kemakmuran," demikian menurut teks khutbah itu.
Menurut teks itu, menyedari pentingnya menjayakan kemakmuran negara, usaha-usaha membangun dan memperteguhkan kemakmuran perlu dipergiatkan di segenap penjuru dan dibuat secara berterusan.
"Wujudkan kestabilan politik dan bina kemajuan negara. Hentikan pertelingkahan dan perbalahan. Sungguh ia hanya akan menghilangkan keampuhan kekuatan kita. Kembalilah kepada mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya. Bersabarlah mengurus segala bentuk perbezaan di antara kita.
"Memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara. Semua warga Malaysia perlu berperanan tepat di posisi mereka.
"Pemimpin perlu gigih dan jujur mentadbir di samping rakyat pula gigih bekerja membangunkan ekonomi negara. Setelah itu agihlah kek ekonomi secara adil dan inklusif di setiap peringkat, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dalam kalangan rakyat.
"Kekalkan perpaduan, hindari perpecahan. Kemajmukan masyarakat menambah keunikan Malaysia sebagai negara yang berdaulat. Tetapi kita diuji dengan pergolakan sesama sendiri sama ada disebabkan keangkuhan, ketamakan atau sifat mementingkan diri.
Semailah budi pekerti mulia dan sikap saling menghormati sesama kita. Inilah kunci kemakmuran yang perlu dimiliki oleh setiap rakyat yang dengannya kita akan mampu menjamin perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama," tambah teks khutbah itu.
Umat Islam juga perlu mengubah jiwa dan paradigma pemikiran demi meraih kemakmuran berbekalkan keberkatan yang diusahakan.
"Kalau kita sebagai pemimpin, kita perlu sentiasa bekerja menggalas amanah dan bermuhasabah terhadap apa yang akan dipersoalkan di hari pembalasan.
"Kalau kita sebagai rakyat, kita juga bertanggungjawab memelihara keharmonian dan sedar betapa setiap perlakuan dan pertuturan kita bakal dipersoalkan di hari perhitungan.
"Pujuklah minda dan jiwa kita agar sentiasa inginkan kebaikan, bersangka baik, berfikiran baik dan berbuat baik.
Khutbah itu turut meminta umat Islam berdoa selalu supaya sentiasa dibantu dan dipandu dalam usaha menjana kebaikan demi mencapai kemakmuran. Semoga dengan kemakmuran yang terhasil, membantu kita merealisasikan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah SWT.