PAPAR: Dua lelaki maut, manakala seorang lagi terselamat selepas terkena renjatan elektrik ketika membaiki lampu jalan di Apartment Bukit Melinsung, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, dua mangsa maut berusia 54 dan 61 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 pagi.
Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
"Mengikut laporan, ketiga-tiga mangsa lelaki terkena renjatan elektrik ketika sedang membaiki lampu jalan.
"Pasukan bomba terus bertindak mengeluarkan mangsa selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa dilaporkan terselamat dan dua orang mangsa lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Pasukan bomba melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.51 pagi," katanya.