KEMAMAN: PAS Terengganu optimis mampu memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pilihan raya kali ini berlaku peningkatan sokongan kepada calon PAS yang agak luar biasa jika dibandingkan dengan PRU14.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS, berkata pasukan kempen dan jentera pilihan raya bekerja keras bagi merealisasikan hasrat itu.
"Kita (PAS) optimis mampu meraih kemenangan di semua lapan kerusi bukan tiga atau empat.
"Kita kerja ke arah itu (kemenangan) sebab itu kita masuk lapan (di Terengganu), kita tak masuk enam... kita masuk lapan kerana kita masuk nak menang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang merangkap Presiden PAS; Timbalan Pengerusi PN Terengganu, Datuk Razali Idris dan calon Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan calon Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Katanya, PAS menilai dan teliti apa yang berlaku di peringkat akar umbi dan bukannya daripada kajian akademik semata-mata.
"Saya rasa 'mood' yang ada sekarang bukan kajian akademik semata-mata ataupun perkara yang diviralkan secara yang palsu kononnya kajian (menang hanya tiga, empat kerusi) daripada pihak tertentu.
"Kita teliti apa yang berlaku (di peringkat akar umbi). Ketika pasukan kempen dan pasukan jentera pilihan raya turun ke semua kawasan-kawasan (dan) kita tengok 'mood' yang sangat luar biasa.
"Saya sangat optimis... insya-Allah dengan masa yang tinggal ini, kita (PAS) mampu beri kemenangan sepenuhnya untuk Terengganu," katanya.