KUALA LUMPUR: Kos sara hidup dan gaji minimum adalah isu yang paling memberi kesan langsung kepada rakyat di negara ini.
Ia berdasarkan kajian dijalankan di portal MyUndi melalui ruangan Suara Kita, membabitkan 2,074 responden di seluruh negara, daripada pelbagai peringkat usia.
Sebanyak 27.4 peratus responden menyatakan isu kos sara hidup memberi kesan langsung kepada mereka, manakala 14.3 peratus adalah mengenai isu gaji minimum.
Ia diikuti isu pendidikan (13.3 peratus), krisis makanan (12.8 peratus), alam sekitar (11.6 peratus), keselamatan (11.1 peratus) dan pengangkutan awam (9.5 peratus).
Berdasarkan kajian, responden di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur adalah mereka yang paling terkesan dengan isu kos sara hidup dan gaji minimum, yang mempengaruhi kehidupan B40 dan M40.
Responden dalam kumpulan usia 18 hingga 24 tahun pula dikenal pasti menjadi golongan yang paling terkesan dengan isu gaji minimum.
"Ini disebabkan hakikat yang golongan ini ialah mereka yang memasuki tenaga kerja dan memulakan kehidupan bekerja mereka," katanya rumusan kajian itu.
Selain itu, majoriti rakyat mahukan kerajaan yang dipilih selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi keutamaan kepada isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat, masing-masing membabitkan 32.1 dan 30.1 peratus responden.
Sebanyak 19.9 peratus responden mahu keutamaan diberikan kepada pembinaan fasiliti untuk rakyat dan 17.8 peratus kepada isu kelestarian alam sekitar serta keselamatan makanan.
Dari segi pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), majoriti responden akan membuat keputusan mengundi berdasarkan calon, membabitkan 31.5 peratus.
Faktor lain yang mempengaruhi mereka adalah parti politik (27.1 peratus), manifesto parti (21 peratus) dan gabungan parti politik (20.4 peratus)
"Calon perlu memenangi kepercayaan rakyat dan juga mewakili parti pilihan mereka untuk menang dalam PRU," katanya.
Pada masa sama, lebih separuh daripada responden (51.7 peratus) mahu kempen pilihan raya oleh calon membentangkan langkah bagi mengatasi masalah dan isu rakyat.
Sebanyak 24.7 peratus mahu melihat debat antara calon Perdana Menteri, debat calon yang bertanding (14.6 peratus) dan ceramah (sembilan peratus).