KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menyatakan komitmen untuk melaksanakan sistem ekonomi yang membela nasib semua kaum jika gabungan itu menerima mandat rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sistem itu akan dilaksanakan bagi menyelesaikan isu kos sara hidup tinggi dan kemiskinan, sekali gus memperbaiki kehidupan rakyat 'ke tahap yang belum pernah disaksikan'.
Beliau juga berjanji, PH yang dibentuk oleh PKR, DAP, AMANAH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan menambah baik mutu perkhidmatan awam dan membentuk kerajaan yang stabil.
"Apa yang kita perlukan saat ini sistem ekonomi yang membela nasib semua. Kita amat memerlukan satu kebijakan yang akan mendukung lebih 1.2 juta pengusaha kecil dan usahawan yang menjadi tulang belakang ekonomi dalam melonjakkan negara keluar daripada kemelut pandemik.
"Kita mesti lakukan yang terbaik dalam memastikan kebajikan ibu bapa kita terbela di mana wang simpanan mereka habis digunakan di saat pandemik menyerang serta menjamin masa depan yang gemilang buat generasi muda untuk mencapai kesejahteraan.
"Kita komited menyokong dan menjaga kebajikan semua penjawat awam. Insya-Allah, saudara akan menjadi saksi kepada penambahbaikan mutu perkhidmatan awam serta komitmen yang diperbaharui untuk memperbaiki kehidupan rakyat ke suatu tahap yang belum pernah disaksikan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas Pengerusi PH yang disiarkan di Facebook, hari ini.
Anwar turut menegaskan, pemimpin yang dipilih memerintah negara selepas Sabtu ini wajib memastikan negara dan khazanah diurus secara bertanggungjawab dan memastikan wang rakyat tidak dibazirkan.
Katanya, kerajaan pasca PRU15 juga perlu menjamin asas hidup seperti sekolah yang baik, bekalan makanan mencukupi, doktor dan perawat berkemahiran, akses yang adil kepada sistem kesihatan serta memastikan rakyat mampu menggapai tahap kehidupan yang munasabah.
"Malaysia adalah tanah terbilang dan diberkati dengan pelbagai khazanah yang tinggi nilainya serta rakyat yang tinggi daya kemahiran. Bagaimana mungkin kita benarkan watak-watak yang rendah mutu dan kemampuan mengancam sisi ini," katanya.
Presiden PKR yang juga calon PH di Parlimen Tambun itu percaya semua komitmen itu dapat dilaksanakan menerusi sebuah kerajaan yang stabil.
Katanya, kestabilan kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 akan terjamin jika mematuhi Perlembagaan, khususnya memelihara agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu, di samping hak setiap kaum akan terus dipelihara, selain pemimpin yang berakhlak dan menolak rasuah.
"Tiap lima tahun sekali saudara punyai kuasa untuk menentukan ke mana hala tuju negara. Tiap lima tahun sekali saudara punyai kuasa untuk menentukan kerajaan bagaimana yang saudara impikan.
"Manfaatkanlah kuasa demokrasi di tangan saudara dengan sebaik mungkin," katanya.