SHAH ALAM: Sejumlah 719 mangsa banjir daripada 175 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor, PPS bagi daerah Klang membabitkan Masjid Kampung Johan Setia yang menempatkan 195 mangsa daripada 49 keluarga dan Balai MPKK Kampung Jalan Kebun, Batu 7 yang menempatkan 58 mangsa daripada 15 keluarga.
Dua PPS dibuka di Petaling iaitu Dewan Camelia Putra Heights (210 mangsa daripada 53 keluarga) dan Masjid Putra Heights (227 mangsa daripada 51 keluarga).
Hulu Langat pula membabitkan 29 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih.
Jumlah mangsa di dua lagi PPS iaitu di Balai Raya Pekan Bangi Lama (Hulu Langat) serta Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (Sepang) masih dalam bancian.
Sementara itu, tiga PPS yang dibuka pada 11 dan 15 November di Kuala Selangor serta Sabak Bernam masih beroperasi sehingga hari ini.
PPS berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram yang menempatkan 116 mangsa daripada 30 keluarga; Dewan Bagan Nakhoda Omar (tujuh mangsa daripada dua keluarga) serta Dewan Simpang 5 (enam mangsa dari satu keluarga).
Beberapa kawasan di Selangor sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat jam sejak 10.30 malam tadi.
Pemantauan di media sosial mendapati banjir kilat membabitkan banyak kawasan antaranya, Seksyen 13, Seksyen 22, Padang Jawa, i-City di Shah Alam.
Kawasan Klang yang terjejas adalah Taman Sentosa; GM Klang; Kondominium Dinasti Klang; Bandar Klang; Taman Chi Liung; Pangsapuri Taman Permai Indah dan Jalan Yadi.
Sementara itu BERNAMA melaporkan jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata situasi sekitar ibu negara masih dalam keadaan terkawal meskipun hujan lebat pada awal pagi tadi, namun pemantauan anggota diteruskan terutamanya di kawasan hotspot.
Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 37 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi ini membabitkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Panchor.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas membabitkan penduduk di daerah Alor Gajah yang ditempatkan di satu pusat PPS.
"Kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal," katanya
Di JOHOR, tiga daerah masih terjejas dengan banjir kilat iaitu Tangkak, Kluang dan Segamat yang menunjukkan bilangan mangsa turun sedikit kepada 325 orang setakat 8 pagi ini berbanding 327 orang, malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terdiri daripada 80 keluarga itu masih ditempatkan di lima PPS yang masih beroperasi, setakat ini.
"Seramai 39 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang masih berada di Dewan Komuniti Tasek, Segamat; manakala 32 orang di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang.
"Di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat, Tangkak; menempatkan mangsa paling ramai, masing-masing 132 dan 108 orang berikutan banjir termenung," menurut jawatankuasa itu.
JPBD turut memaklumkan paras air di Sungai Lenik (Ladang Cha'ah), Segamat mencatatkan paras bahaya dengan bacaan 6.09 meter.
Di PULAU PINANG, Penolong Pengarah Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Mej (PA) Kamal Jakarinah berkata PPS Dewan Banjir Desa Puri ditutup sepenuhnya petang semalam selepas banjir yang melanda kawasan tersebut pulih.
Di PERAK, mangsa banjir dilaporkan berkurangan kepada 540 orang daripada 153 keluarga setakat 9 pagi berbanding 579 orang daripada 159 keluarga pada 6 pagi tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di tujuh PPS termasuk satu PPS baharu dibuka pada 11.30 malam semalam di Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar di daerah Hulu Perak.
Daerah tersebut terus merekodkan penurunan mangsa banjir khususnya di Kampung Kuak Luar, Kampung Kuak Tengah, Kampung Ayer Panas dan Kampung Raja Kayu dengan 79 orang daripada 19 keluarga berbanding 118 orang daripada 25 keluarga.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus merekodkan penurunan kepada 1,483 orang daripada 509 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,677 orang daripada 557 keluarga semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa banjir ketika ini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Mas.