Khamis, 17 November 2022 | 12:22am
Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya meninggal dunia akibat serangan sakit jantung. - Foto BERNAMA
Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya meninggal dunia akibat serangan sakit jantung. - Foto BERNAMA

Karupaiya lantang bawa suara masyarakat India - Vigneswaran

SUNGAI SIPUT: Kematian penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, M Karupaiya hari ini amat dirasai kerana mendiang adalah pemimpin yang lantang membawa suara rakyat terutama masyarakat India, kata Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

"Satu situasi sukar. Kehilangan (beliau) pastinya dirasai ahli keluarga. Mendiang adalah Ahli Parlimen yang sentiasa memperjuang hak dan nasib kaum India hingga ke Parlimen.

"Saya turut bersedih. Takziah kepada keluarga mendiang," katanya kepada Bernama selepas menyantuni masyarakat di Taman Kledang di sini malam tadi.

Karupaiya, 69, sepatutnya berdepan saingan enam penjuru menentang lima lagi calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai iaitu Hamzah Abd Rahman (PEJUANG); Datuk C Sivaraj (BN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan calon Bebas, Sreanandha Rao pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS, Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

Mengulas proses pengundian di kawasan itu pada Sabtu susulan kematian Karupaiya, Vigneswaran yang juga calon BN di Parlimen Sungai Siput menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita tunggu SPR. MIC tiada masalah. Saya percaya proses pengundian awal sudah berlaku. Malah perkara tersebut juga telah termaktub dalam akta (SPR)," katanya.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan semalam memaklumkan sudah menerima pemulangan writ pilihan raya bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah, hari ini.

Beliau berkata, writ berkenaan diterima daripada Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya yang menyatakan fakta kematian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan penetapan tarikh penting bagi urusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai. – BERNAMA

Berita Harian X