Rabu, 16 November 2022 | 11:40pm

Reezal Merican, Lee Zii Jia berbalas kata semangat menerusi panggilan video

KEPALA BATAS: Meskipun beraksi dalam gelanggang berbeza tidak menjadi halangan antara Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan jaguh badminton negara, Lee Zii Jia untuk memberi kata-kata semangat menerusi panggilan video.

Reezal Merican dan Zii Jia mengambil masa kira-kira 10 minit berbual sambil masing-masing memberi kata perangsang dan pesanan bermakna.

Dalam panggilan itu, Reezal Merican memaklumkan kepada Zii Jia bahawa rakyat di Kepala Batas sentiasa berada bersama perseorangan badminton negara itu.


"Kami semua peminat di Kepala Batas berada di belakang Zii Jia yang selalu mendoakan kejayaan awak.

"Kami harap awak (Zii Jia) dapat melayakkan diri ke semi final (separuh akhir) macam awak kata mahu lawan 'kaw kaw' (betul-betul) punya...saya doakan kejayaan awak," katanya ketika membuat panggilan video, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zii Jia pula menzahirkan perasaan terharunya terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang tidak pernah melupakan dirinya walaupun sudah tidak berada dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Walaupun di BAM atau sudah keluar dari BAM, Datuk Seri (Reezal Merican) tetap tolong saya. Kini bukan lagi seorang minister (menteri) sukan tetapi kita tetap 'keep in touch' (terus berhubung) yang saya hargai sangat," katanya yang turut memberi kata semangat terhadap Reezal Merican yang bertanding bagi mempertahankan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15( PRU15).

Zii Jia akan menentang Lu Guang Zu dari China esok dalam perlawanan sempena Australia Badminton Open 2022 di Sydney, Australia.

Pemain nombor dua dunia itu dalam misi mengumpul mata untuk menempah slot Jelajah Dunia Akhir di Arena Nimibutr, Bangkok pada 7 hingga 11 Disember ini, manakala Reezal Merican akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas 19 November ini.

Reezal Merican berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Siti Mastura Muhammad, calon MUDA, Muhammad Danial Abdul Majeed dan Hamidi Abu Hassan (PEJUANG) Sabtu ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat panggilan video dengan perseorangan badminton negara Lee Zii Jia, hari ini. - Foto Nur Izzati Mohamad
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat panggilan video dengan perseorangan badminton negara Lee Zii Jia, hari ini. - Foto Nur Izzati Mohamad
Berita Harian X