IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik semula dan memohon maaf berhubung dakwaan dilemparkan Menteri Besar Kedah itu, yang menyinggung perasaan serta bersifat fitnah.
Selain itu, Mohammad Sanusi juga dituntut membuat satu aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam perkataan dan penerbitan berunsurkan fitnah.
Tetuan S N Nair dan Partners berkata, sekiranya Muhammad Sanusi enggan memenuhi tuntutan terbabit, pihaknya akan mendapatkan suatu perintah injuksi.
Selain itu, Anwar menerusi firma sama turut membuat tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Muhammad Sanusi kerana menyebabkan kecederaan serius dan teruk ke atas reputasinya.
"Anak guam kami juga menuntut daripada kamu, pembayaran semua kos guaman yang berbangkit daripada perkara ini," katanya.
Menerusi surat tuntutan (LOD) bertarikh hari ini, dakwaan dibuat Muhammad Sanusi menerusi ucapan ketika jelajah Perikatan Nasional (PN) BEST di Tambun, Perak pada 13 November lalu.
Ucapan yang disiarkan menerusi video siaran langsung mengenai dakwaan terhadap Anwar merangkap calon PH Parlimen Tambun di Facebook bernama Faizal Azumu.
Ia meraih tontonan lebih 81,000 kali, 383 komen, 383 komen, 500 reaksi dan 61 kali perkongsian setakat tarikh notis berkenaan.
Mengikut notis terbabit, video siaran langsung memfitnah itu juga dipetik sebagai laporan berita oleh sebuah portal dalam talian.
MalaysiaKini menerusi artikel menceritakan laporan bertajuk 'Kes liwat Anwar, dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena pikiq'.
Artikel berbahasa Inggeris berserta video dimuatnaik di YouTube oleh portal itu, meraih jumlah tontonan melebihi 22,800 kali.