Rabu, 16 November 2022 | 5:53pm
Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/ARKIB
Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/ARKIB

PRU15: Tun M guna teknologi terkini Metaverse dekati pengundi muda

KUALA LUMPUR: Presiden PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal melakar sejarah malam ini apabila menjadi satu-satunya wakil parti yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), menggunakan platform teknologi, 'Metaverse' untuk mendekati pengundi.

Calon paling tua pada PRU kali ini akan menyampaikan mesejnya pada sesi Ucapan Khas Untuk Anak Muda di pautan www.nanoverse.io pada jam 9 malam ini dalam usaha mendekati pengundi berusia 18 tahun yang pertama kali mengundi.

Pengasas Nanoverse.io, Shahabudeen Jalil, berkata 'Metaverse' kini adalah platform internet masa depan dan beliau melihat Dr Mahathir, 96, sebagai satu-satunya pemimpin yang ke hadapan dalam soal pendigitalan baharu.

Pengasas Nanoverse.io, Shahabudeen Jalil.
Pengasas Nanoverse.io, Shahabudeen Jalil.

Katanya, 'Metaverse' dipilih untuk mendekati anak muda yang kini lebih mudah menerima kaedah baharu itu, yang lebih bersifat masa sebenar, interaktif dan tiga dimensi, berbanding internet dunia digital yang bersifat dua dimensi.

"Penggunaan platform 'Metaverse' ketika kempen PRU15 adalah langkah terbaik untuk memperkenalkan teknologi baharu kepada rakyat terutama generasi muda.

"Dr Mahathir membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang itu meneroka teknologi baharu, yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Kami memilih Tun sebagai calon untuk mendekati pengundi menggunakan teknologi ini kerana beliau pemimpin berwawasan dan yang pertama membawa era digital ke Malaysia melalui penubuhan Koridor Raya Multimedia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

'Metaverse' didefinisikan sebagai generasi baharu internet, menggabungkan dunia digital dan maya, yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan Gen-Z yang berusia awal 20-an.

Shahabudeen berkata, Korea Selatan sebelum ini menggunakan teknologi dalam pengiraan undi di platform Metaverse Ifland oleh stesen televisyen KBS.

"Berdasarkan Nielsen Korea, melalui penggunaan platform itu, KBS menjadi saluran dengan liputan pilihan raya presiden yang paling banyak ditonton dengan penarafan penonton sebanyak 11.1 peratus," katanya.

Justeru, beliau berharap Nanoverse.io akan menjadi perintis usaha mempopularkan teknologi terkini itu, dengan memanfaatkan PRU15 sebagai usaha membawa rakyat Malaysia mendekati teknologi 'Metaverse'.

Berita Harian X