KUALA LUMPUR: Proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai, Kedah perlu dilaksanakan pada suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya hari ini.
Ini kerana, SPR perlu membatalkan notis pengundian itu, selain menyiarkan warta tarikh baharu bagi pilihan raya berkenaan.
Semua urusan mengenainya perlu dijalankan semula dengan tidak perlu penamaan baharu bagi calon yang layak serta sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan.
Ia susulan ketetapan mengikut Fasal 11(6) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang memperincikan perihal membabitkan calon yang dinamakan mati atau hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum pengundian dimulakan.
Fasal sama turut menyentuh perkara sama bagi apa-apa sebab pengundian tidak dapat diadakan atau sudah tidak diadakan pada hari pengundian awal atau hari pengundian, mengikut mana-mana yang berkenaan seperti dinyatakan dalam writ dikeluarkan kepada pegawai pengurus mengikut subperaturan 3(1).
Rentetan itu, pegawai pengurus perlu memberitahu Setiausaha SPR selepas beliau berpuas hati mengenai fakta atau sebab sedemikian di belakang writ dikeluarkan kepadanya di bawah subperaturan 3(1) dan memulangkannya tanpa kelengahan.
SPR juga perlu membatalkan notis bagi pengundian itu, selain menetapkan melalui notis yang disiarkan dalam warta suatu tarikh baharu bagi pilihan raya itu dan dalam hal demikian semua urusan mengenai pilihan raya itu hendaklah dijalankan semula, dengan syarat bahawa penamaan yang baharu tidak perlu dalam hal seseorang calon yang layak yang sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan.
Sementara itu, penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran, berkata keadaan sama pernah berlaku dua kali sebelum ini, masing-masing pada 1982 dan 1969.
"Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Taha Talib yang bersaing mempertahankan kemenangannya di DUN Gemencheh, Negeri Sembilan, maut akibat dibunuh, lapan hari sebelum pengundian PRU6, pada 1982, manakala seorang lagi bekas calon Parlimen Melaka Selatan, meninggal dunia pada 1969.
"Berdasarkan pengalaman ini, saya yakin ia (proses pengundian di Parlimen Padang Serai) akan ditangguhkan. Kita perlu berlaku adil kepada semua calon," katanya.
Terdahulu, Karupaiya, 69, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulim, Kedah hari ini, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Difahamkan, mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim, Isnin lalu, dan keadaannya dilaporkan tidak berapa baik sejak itu.
Mendiang berdepan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS), pada PRU15.
Karupaiya yang juga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1 adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya buat kali pertama pada PRU14 dengan majoriti 8,813 undi.