Rabu, 16 November 2022 | 5:10pm
M Karupaiya.
M Karupaiya.

Kematian M Karupaiya satu kehilangan besar - Sivaraj

ALOR SETAR: Kematian penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Padang Serai, Karupaiya Muthusamy disifatkan satu kehilangan besar untuk keluarga dan masyarakat di situ.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen berkenaan, Datuk Sivaraj Chandran, berkata M Karupaiya adalah seorang bekas tentera yang menghabiskan hidupnya dalam perkhidmatan awam dan dunia politik.

"Sebagai wakil MIC dan Barisan Nasional (BN) di sini, saya terkejut mendengar kehilangan beliau.

"Takziah kepada keluarga mendiang yang meninggal dunia beberapa jam lalu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dua hari lagi. Saya juga mengucapkan takziah kepada penyokong Karupaiya.

"Ia sememangnya satu kehilangan yang besar dan tidak disangka-sangka kepada penduduk Padang Serai. Saya harap mendiang berehat dengan aman," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, M Karupaiya dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulim di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata mendiang meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang tadi.

Difahamkan, mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin lalu, selepas mengalami pendarahan pada bahagian perut.

Pada PRU15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS).

Pada PRU14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, menang dengan majoriti 8,813 undi.

Berita Harian X