KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda lebih awal dari jangkaan di beberapa kawasan di sekurang-kurangnya enam negeri memaksa perubahan corak berkempen di situ bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setakat pagi ini, seramai 3,196 mangsa banjir berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri iaitu Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.
Berikutan situasi itu, kempen beberapa calon dan ceramah politik membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) dilapor terpaksa ditangguhkan seketika.
Ia memaksa gerak kerja kempen kini disesuaikan mengikut keadaan semasa dengan mendahulukan bantuan kepada rakyat terjejas.
Beberapa calon dilihat mengharungi banjir untuk bertemu dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Seorang daripadanya ialah calon PH Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar, yang berbaju kurung dan baju hujan.
Beberapa calon di Selangor terpaksa menangguhkan dan beralih kepada misi menyantuni mangsa banjir.
Antaranya, Parlimen Sungai Buloh yang menjadi kerusi tumpuan, turut menyaksikan calon BN, Khairy Jamaluddin, menangguhkan kempennya seketika untuk bertemu penduduk terkesan dengan banjir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga calon PH bagi Parlimen Gombak dan calon PN bagi Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali. antara yang dilihat membatalkan aktiviti kempen untuk meninjau keadaan banjir di kawasan terkesan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pertengahan November dan berlanjutan sehingga Mac tahun depan.
Ia berisiko berlakunya hujan lebat sehingga boleh menyebabkan banjir, terutama di kawasan rendah selain fenomena air pasang besar melanda kawasan pantai antara November dan Januari tahun depan.
Situasi cuaca tidak menentu menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga meletakkan anggota bersama aset bantuan di beberapa lokasi bencana untuk memantau keadaan semasa, terutama di persisiran pantai dan sungai.
"Bomba akan siap siaga berdasarkan keadaan cuaca seperti air hujan bertakung atau kenaikan paras air. Kita akan gunakan aset seperti bot dan lori pengangkut untuk sebarang kemungkinan," kata Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis, ketika dihubungi BERNAMA.
Di Pahang, calon BN bagi Parlimen Raub, Datuk Chong Sin Woon, berkata MCA mempunyai pasukan khas yang bersiap sedia digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu masyarakat di kawasan berisiko banjir, menunaikan kewajipan itu.
Beliau mengakui situasi banjir atau hujan lebat pada hari pengundian 19 November ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pengundi keluar mengundi.
".. untuk mereka yang bukan penyokong tegar mana-mana parti, kalau hujan lebat tak adalah kesegeraan untuk mereka mengundi.
"Untuk menarik pengundi, kita boleh hantar kenderaan dan menyediakan peralatan seperti payung dan sebagainya. Kita dah siap sedia perkara itu," katanya.
Calon PH-DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari di Pahang, Thomas Su Keong Siong, berpandangan peratusan keluar mengundi akan turun mendadak jika banjir.
Bagi meringankan beban rakyat, katanya, PH akan mengutamakan aspek membantu mangsa banjir terlebih dahulu.
"Saya harap tak ada banjir walaupun sekarang kerap hujan. Kalau banjir, peratusan keluar (mengundi) tidak tinggi… bayangkan kalau rumah sendiri sudah dinaiki air, mana ada 'mood' untuk mengundi.
"Kalau kita tidak membantu sebaliknya suruh mereka mengundi, itu mementingkan diri," katanya.
Di Kelantan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata jentera BN Kelantan bersedia dengan peralatan seperti bot, keperluan makanan dan sebagainya bagi membantu pihak berkuasa dalam operasi penyelamatan dan perpindahan mangsa banjir.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab, menjelaskan seramai 1,349 anggota APM bersama logistik seperti 14 lori dan 78 bot sedia digerakkan sekiranya berlaku banjir termasuk pada hari pengundian.
Di Terengganu, 30 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, berkata RM2.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan barangan keperluan dan makanan buat mangsa banjir kali ini. – BERNAMA