Rabu, 16 November 2022 | 10:50am

DAP yakin calon Melayu diterima pengundi

PADANG BESAR: DAP yakin calon Melayu yang ditampilkan parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dapat diterima masyarakat secara keseluruhan, sekali gus mampu menyumbang kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) secara kolektif.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata tiada masalah bagi parti itu meletakkan calon berbangsa Melayu bertanding di kawasan yang dijangka mampu memberikan kemenangan kepada PH.

"DAP meletakkan calon Melayu di kawasan yang boleh menang meskipun ada calon yang mungkin berdepan tugas sukar untuk membawa kemenangan.

"Sebenarnya, kawasan yang ditandingi DAP adalah kawasan calon kita penyandang di situ atau kawasan yang boleh dimenangi, contohnya di Parlimen Bentong, Parlimen Bangi dan Parlimen Bukit Bendera yang kita letakkan calon Melayu bagi kerusi itu," katanya selepas menyampaikan ceramah politik di Bilik Gerakan PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, Pejabat DAP Perlis di Pekan Padang Besar, di sini.

Turut hadir, calon PH Parlimen Padang Besar, Mohamad Yahaya dan calon PH DUN Titi Tinggi, Teh Seng Chuan.

Loke yang juga Timbalan Presiden PH, berkata pihaknya juga akan bertemu calon Melayu daripada DAP, Zulhazmi Shariff yang ditampilkan PH di Parlimen Jerai untuk membantu kempen calon berkenaan.

"Saya juga akan melawat calon kita di Parlimen Jerai yang juga calon Melayu dan saya lihat penerimaan pengundi Melayu kepada calon amat baik.

"Malah, saya yakin mereka (masyarakat pengundi Melayu) bukan melihat caon itu sebagai calon DAP sebaliknya calon PH secara keseluruhan kerana kempen yang kita lakukan juga adalah kempen bersepadu dan tiada kempen DAP atau Parti Amanah Negara (AMANAH) atau PKR, sebaliknya semuanya adalah kempen PH dengan satu lambang, satu mesej dan satu calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Pada PRU15 ini, DAP menampilkan 13 calon Melayu bertanding kerusi Parlimen dan DUN di seluruh Semenanjung.

Senarai calon Melayu DAP pada PRU15

P012 Jerai - Zulhazmi Shariff

P048 Bukit Bendera - Syerleena Abdul Rashid

P054 Gerik - Ahmad Tarmizi Mohd Jam

N26 Tebing Tinggi - Dr Abdul Aziz Bari

N56 Changkat Jong - Badrul Hisham Badarudin

P079 Lipis - Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

P089 Bentong - Young Syefura Othman

N07 Tras - Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

N20 Pulau Manis - Muhammad Khairil Khalid

P102 Bangi - Syahredzan Johan

P148 Ayer Hitam - Sheikh 'Umar Bagharib Ali

P154 Mersing - Fatin Zulaikha Zaidi

P164 Pontian - Shazwan Zdanial Abidin

 Loke (tengah) bersama Seng Chuan (kiri) dan Mohamad (kanan) pada majlis ceramah politik di Bilik Gerakan PH DUN Titi Tinggi di Pekan Padang Besar. NSTP/Aizat Sharif
Loke (tengah) bersama Seng Chuan (kiri) dan Mohamad (kanan) pada majlis ceramah politik di Bilik Gerakan PH DUN Titi Tinggi di Pekan Padang Besar. NSTP/Aizat Sharif
Berita Harian X