Rabu, 16 November 2022 | 10:45am
Golongan bekerja sendiri seperti nelayan diharap membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). - Foto hiasan
Golongan bekerja sendiri seperti nelayan diharap membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). - Foto hiasan

10,000 rakyat Kelantan mencarum SKSPS sehingga Oktober

KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan merekodkan seramai 10,000 rakyat di negeri ini yang sudah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak awal Januari hingga Oktober lalu.

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, berkata caruman di bawah SKSPS membabitkan lapan kumpulan sasar iaitu usahawan, Orang Asli, pekerja sektor gig, penjaja, orang kurang upaya (OKU), pelancongan, kesenian dan pertanian.

"Bagi memastikan mereka mendapat manfaat yang ditawarkan, sehingga kini pihak kami masih lagi mempergiatkan usaha untuk menambah bilangan pencarum bagi individu yang bekerja sendiri di Kelantan.

"Justeru, saya berharap semua individu yang bekerja sendiri tampil membuat caruman demi kebajikan mereka sendiri. Kelantan adalah di antara negeri yang mempunyai jumlah golongan bekerja sendiri paling ramai seperti nelayan dan juga penghantar barang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui SKSPS juga seramai 823 penghulu di seluruh Kelantan sudah melakukan caruman di bawah skim ini melalui peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Usaha ini akan memberikan suntikan semangat kepada jentera penghulu yang menjadi nadi penggerak utama dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.

"Saya amat menghargai fungsi dan peranan penghulu sebagai 'Duta Kecil' PERKESO yang menjadi mata dan telinga serta kaki serta tangan kepada pihak kami untuk membolehkan rakyat mendapat manfaat dan faedah yang disediakan PERKESO dengan cepat, pantas dan penuh efisyen," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini banyak aktiviti penyampaian faedah PERKESO dijalankan dengan kerjasama pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta penghulu sekali gus membuktikan keakraban di antara PERKESO dengan pemimpin masyarakat dalam membela nasib pencarum atau rakyat Kelantan.

"Sebagai contoh, dalam misi 'flying squad' atau Skuad Prihatin PERKESO, kerajaan negeri melalui sumbangan informasi yang diberikan oleh penghulu, membolehkan PERKESO mengambil tindakan proaktif sekiranya mendapat perkhabaran menerusi media sosial sekiranya berlakunya sebarang kemalangan semasa bekerja di sesuatu kawasan di seluruh Kelantan.

"SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017," katanya.

Berita Harian X