Rabu, 16 November 2022 | 2:10am

PRU15: Sebarang kemungkinan bergabung, hanya boleh diputuskan MT parti - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Sebarang kemungkinan Barisan Nasional (BN) bergabung dengan PAS atau mana-mana pihak lain untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hanya boleh diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri menjelaskan, sebarang cadangan berhubung perkara itu juga hanya akan diteliti atau dibincangkan setelah selesai PRU15.

"Seperti yang saya katakan, gabung dengan parti apa sekalipun, mesti diputuskan oleh MT," katanya kepada pemberita selepas program 'Walkabout Parlimen Titiwangsa' di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kampung Datuk Keramat, di sini, malam tadi.

Hadir sama ialah calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU15, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau diminta mengulas laporan media terdahulu yang memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu akan bergabung dengan BN pasca PRU15 jika pihaknya tidak memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Takiyuddin kemudian mengeluarkan kenyataan media terbaharu menegaskan bahawa kenyataan beliau itu telah diambil di luar konteks dan tajuknya juga mengelirukan pengundi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) bertanding dalam PRU15 untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin dipetik berkata, beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi sebarang tujuan penggabungan pasca PRU15.

Malah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut dilaporkan berkata, parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada bergabung dengan BN yang dianggap masih 'keruh', selain masih mengekalkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan tetapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya, bahawa Muhyiddin tidak berpuas hati dengan kenyataan dibuat PAS.

Beliau berkata, PAS sebagai parti besar dan ditubuhkan lebih awal daripada BERSATU, sepatutnya dominan dalam PN.

"PAS adalah parti besar dan lebih awal daripada BERSATU. Sepatutnya PAS dominan serta mempunyai kuasa sendiri sebagai parti komponen, ia sepatut ada 'say' dalam gabungan PN," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, PAS dilihat sering dikritik rakan kerjasamanya itu setiap kali mengeluarkan pandangan berkaitan parti.

"Jadi saya percaya kalau itulah caranya, eloklah PAS memikirkan untuk bergabung dengan parti lain," katanya.

Mengulas desas-desus mendakwa Majlis Tertinggi PN akan mengadakan perjumpaan untuk membincangkan kerjasama dengan UMNO pula, beliau hanya menjawab ringkas bahawa perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Sementara itu ditanya sama ada hari mengundi akan diteruskan pada Sabtu ini jika berlaku banjir besar, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincang dan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya sudah katakan kalau banjir besar yang menyebabkan pengundi tidak boleh keluar mengundi, kita akan bincang dengan SPR.

"SPR yang boleh menentukan apa patut dilakukan selepas itu. Namun setakat ini, saya difahamkan banjir yang berlaku adalah banjir kilat.

"Bagaimanapun sekiranya banjir serentak di seluruh negara menyebabkan pengundi tidak boleh keluar dan sebagainya, insya-Allah kita akan membuat keputusan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri menegaskan, pengundian pada PRU15 bakal menentukan sama ada rakyat berdepan kesengsaraan atau kesenangan diharapkan.

"Pada PRU ini, ada dua perkara penting. Pertama, dari segi calon. Kita mesti membuat perbandingan antara calon yang bertanding.

"Calon mana yang kita harapkan boleh memberi perkhidmatan, tiada guna kita pilih calon yang akhirnya sampai empat tahun tak jumpa dan tak bantu kita.

"Kalau calon parti (sebegitu) menang lagi dan hilang lagi.. yang rugi adalah rakyat. Begitu juga parti, kita mesti bandingkan antara parti bertanding, parti mana kita boleh harapkan, boleh menjaga kepentingan kita," katanya.

Ismail Sabri berucap pada program ‘Walkabout Parlimen Titiwangsa’ di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2 yang turut dihadiri Johari (kanan), malam tadi. - Foto BERNAMA
Ismail Sabri berucap pada program ‘Walkabout Parlimen Titiwangsa’ di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2 yang turut dihadiri Johari (kanan), malam tadi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X