Selasa, 15 November 2022 | 6:44pm

Tok Mat tak tahu ada rundingan tubuh kerajaan BN, PN

TAMPIN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak tahu-menahu dakwaan adanya perundingan antara gabungan itu dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerjasama mendirikan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO dan calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau, berkata perkara itu di luar pengetahuannya.

"Perkara itu (rundingan BN/PN) di luar pengetahuan saya, itu saya tidak tahu dan saya tidak dapat hendak komen kerana saya tidak ada (terbabit) dalam apa-apa perundingan.

"Wallahualam, dia berunding dengan siapa, saya tak tahu, dengan saya tidak ada," katanya ketika ditemui selepas berkempen sempena lawatan Pengarah Pilihan Raya BN dengan calon BN kerusi Parlimen Tampin, Datuk Mohd Esam Mohd Isa, di Repah, dekat sini, hari ini.

Mohamad diminta mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pemimpin BN dan PN sudah memulakan rundingan untuk membentuk gabungan bagi mendirikan kerajaan selepas PRU15.

Anwar mendakwa, kedua-dua gabungan parti itu sudah membuat rancangan berkenaan selepas masing-masing ketinggalan dalam persaingan kempen, ketika hari berbaki empat hari lagi.

Awal hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan bergabung dengan BN pasca PRU15 jika pihaknya tidak mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Takiyuddin dilaporkan berkata, pendirian parti itu jelas untuk bergabung dengan BN dan bukannya Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam reaksi segera menegaskan bahawa gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN dan menegaskan PN bertanding dalam PRU15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

Takiyuddin kemudian mengeluarkan satu lagi kenyataan menyatakan isu itu diambil diluar konteks.

Mohamad Hasan bersama jentera BN Parlimen Tampin di Repah, hari ini - FOTO NSTP/Mohd Amin Jalil
Mohamad Hasan bersama jentera BN Parlimen Tampin di Repah, hari ini - FOTO NSTP/Mohd Amin Jalil
Berita Harian X