PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan peruntukan Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) terhadap mana-mana calon lawan yang mengeluarkan pernyataan bersifat jahat sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, berkata implikasi penggunaan akta itu termasuk kemenangan kerusi yang ditandingi calon terbabit, boleh dicabar.
Merujuk kepada beberapa kenyataan bersifat jahat sejak kempen PRU15 bermula, antaranya kenyataan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dan pelakon serta pengarah, Zul Huzaimy baru-baru ini, Rafizi berkata, sebelum ini tidak ada tindakan sedemikian diambil terhadap calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.
Beliau berkata, kempen bersifat jahat itu sudah lama dilakukan sejak 1980-an terutama di negeri Pantai Timur dengan tuduhan kafir mengkafir antara parti politik.
Katanya, kandungan seperti itu sering mendapat tempat dalam kalangan pengundi di kawasan luar bandar berbanding di kawasan bandar yang lebih berfikiran logik.
"Cuma salahnya kadang-kadang adalah pimpinan kita juga kerana membenarkan perkara ini berlaku sedangkan ada peruntukan undang-undang yang jelas.
"Contohnya, kenyataan itu secara jelas melanggar Seksyen 504 Kanun Keseksaan, memuat naik kandungan mencetuskan kemarahan dan ada ancaman kepada ketenteraman awan jelas melanggar peruntukan undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Ini yang ramai tidak tahu bahawa sesetengah yang berkempen atas dasar perkauman dan keagamaan yang melaga-lagakan rakyat adalah kesalahan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya," katanya berucap pada Majlis Makan Tengah Hari dan Pungutan Dana di sini, hari ini.
Yang turut hadir, calon PH di Parlimen Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz.
Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan, berkata tindakan itu bertujuan menjadi peringatan kepada parti dan calon lawan yang berkempen dengan menggunakan taktik sedemikian.
Beliau berkata, seingatnya belum pernah ada kes terdahulu yang kemenangan seseorang calon pilihan raya dicabar ekoran kenyataan dan bahan kempen pilihan rayanya melanggar peruntukan Seksyen 4A akta berkenaan.
Berikutan itu, Rafizi berkata, beliau sudah meminta peguam parti dan pasukan kempen di ibu pejabat untuk mengesan kempen sedemikian untuk mengumpul bukti diperlukan.
"Sudah tentu saya perlu melihat kepada peruntukan undang-undang adakah ia membabitkan juga kempen atau ucapan itu yang dibuat orang lain, selain calon.
"Tetapi kalau calon yang cakap sendiri, kita sudah tentu akan mencabarnya di mahkamah kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk ia dilakukan.
"Perkara ini tidak pernah dicuba, tetapi kali ini penting supaya semua calon bertanding pada masa depan tahu perkara itu sebenarnya tidak dibenarkan kerana ia melanggar undang-undang pilihan raya dan kalau dia buat itu memberi risiko kepada kerusi, kalau dia menang kerana ia boleh dicabar di mahkamah," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Mohd Shahiful yang menyatakan sesiapa yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan PH akan masuk neraka serta kenyataan Zul Huzaimy yang mahu menyembelih orang bukan Islam.
Seksyen 4A itu membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau didenda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ia juga memperuntukkan, mana-mana orang disabitkan atas suatu kesalahan mengikut seksyen itu tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam sesuatu pilihan raya atau dipilih dalam sesuatu pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun daripada sabitan itu, dan jika pada tarikh itu dia sudah dipilih dalam sesuatu pilihan raya, kerusinya perlu dikosongkan dari tarikh sabitan itu.