Selasa, 15 November 2022 | 5:53pm
Zul Huzaimy menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap kes rakaman video viral membabitkan dirinya. Foto IG Zul Huzaimi
Zul Huzaimy menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap kes rakaman video viral membabitkan dirinya. Foto IG Zul Huzaimi

Saya serah kepada polis untuk siasat - Zul Huzaimy

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zul Huzaimy tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, semalam bagi memberi kenyataan berhubung rakaman video tular, sejak beberapa hari lalu.

Memberi jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, Zul Huzaimy berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya serah kepada pihak berkuasa iaitu polis untuk siasatan," katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Impak Maksima itu berharap kontroversi rakaman video itu tidak lagi berpanjangan dan menimbulkan salah faham.

"Semoga dipermudahkan segala urusan dan tidak menjadi salah faham," katanya.

Semalam, BH Online melaporkan polis sudah menerima laporan berhubung video Zul Huzaimy yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ugutan.

Berikutan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menjalankan siasatan.

Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin, dilaporkan berkata, siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, menerusi Instagram (IG) semalam, Zul Huzaimy memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan menjelaskan maksud sebenarnya berhubung ucapannya yang menyentuh mahu menyembelih 'kafir harbi' di Malaysia.

Zul Huzaimy mendakwa isu timbul apabila sedutan ucapannya disensasikan sebagai sesuatu yang berunsur kebencian.

Video tular itu dipercayai dirakam ketika Zul Huzaimy menyampaikan ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Berita Harian X