KLUANG: Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam BN mengenai soal bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, Presiden MCA itu berkata, BN menyasarkan untuk memenangi PRU15 dengan mandat lebih selesa pada pilihan raya kali ini bagi membentuk kerajaan yang stabil.
"BN belum pernah bersemuka dengan mana-mana pemimpin PN atau komponennya (mengenai langkah bergabung untuk membentuk kerajaan). Soal ini tidak timbul kerana tidak pernah ada perbincangan.
"Saya selaku Naib Pengerusi BN pun tidak tahu perkara itu (sebarang rancangan untuk bergabung membentuk kerajaan)... dari mana datangnya maklumat sebegini? Malah, saya baru mendapat maklumat bahawa Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menafikan ada memberi kuasa kepada Takiyuddin (Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, untuk berunding dengan BN bagi sebarang tujuan penggabungan selepas PRU15).
"Biarlah kita bertanding atas tiket BN. Kita mendoakan yang terbaik supaya mendapat mandat lebih padu daripada rakyat," katanya yang juga Menteri Pengangkutan pada sidang media selepas meninjau kemajuan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), di sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN untuk kerusi Parlimen Kluang pada PRU15, Gan Ping Sieu.
Sekiranya BN gagal mendapat mandat kukuh pada PRU15, Ka Siong berpendapat kestabilan politik tidak akan dapat dicapai, sekali gus menyebabkan rakyat kerugian.
"Jika kita memperoleh mandat besar dan dapat membentuk kerajaan stabil seperti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sudah tentu kita boleh memerintah secara solo.
"Itu adalah ke arah kestabilan politik dan akan membawa kemakmuran kerana pelabur yakin. Ia akan menguntungkan rakyat dengan memberi peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya.