Selasa, 15 November 2022 | 5:31pm
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

'Elak kempen guna isu panas, bagi penerangan perkara positif saja'

KOTA BHARU: Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disarankan memberi penerangan mengenai perkara positif ketika mengadakan ceramah mahupun berkempen.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata manifesto yang digariskan parti sudah lengkap, padat dan mudah difahami masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, semua jentera penerangan parti dinasihat menggunakan pendekatan itu sepanjang kempen PRU15 ini supaya tidak menimbulkan masalah terutama pada waktu yang agak panas ketika ini.

"Jentera parti dinasihat memberi penerangan hanya membabitkan perkara yang positif saja seperti digariskan dalam manifesto bagi mengelak perkara tidak diingini.

"Langkah itu perlu bagi mengelak timbul masalah dalam keadaan suasana kempen yang agak panas sekarang," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir bahawa pengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia adalah isu terpencil dan tidak membabitkan kepimpinan pada peringkat pusat dan negeri.

"Sekiranya hendak mengambil isu yang kecil dan dikaitkan dengan parti, ia sangat tidak adil.

"PAS adalah parti terbuka dan kita membawa agenda yang jelas iaitu agenda agama yang syumul (lengkap) mencakupi segala aspek kehidupan manusia sesuai dengan semua kaum, agama dan itulah dasar dibawa PAS.

"Perkara membabitkan syurga neraka itu bukan daripada PAS, tetapi perjuangan menegakkan agama Allah dengan membawa agenda Islam adalah perjuangan yang wajib dari segi syarak," katanya.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, kenyataan kontroversi pelakon Zul Huzaimy yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ugutan adalah bercanggah dengan syariat agama.

"Bagaimanapun, bagi artis atau sesiapa saja yang mahu menceburkan diri melalui perjuangan Islam amat digalakkan.

"Cuma kita kena faham setiap orang kadang-kadang boleh tersasar, jadi jangan memperbesarkan benda yang tersasar," katanya.

Menerusi video berkenaan, Zul Huzaimy menyatakan sekiranya tiada undang-undang, sudah lama dirinya menyembelih orang kafir harbi di Malaysia.

Namun, Zul Huzaimy kemudian menyatakan permohonan maaf dan menjelaskan maksud sebenar isu berkenaan dalam satu video menerusi akaun Instagram.

Katanya, kafir harbi yang dimaksudkannya itu ialah musuh Islam yang nyata, yang membenci Islam, suka perkauman dan tidak membenarkan azan berkumandang terlalu kuat.

Berita Harian X