KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak didakwa cuba menghalang versi awal Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertujuan menyembunyikan salah laku beliau dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, pada dana syarikat pelaburan strategik negara itu.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengemukakan hujahannya dalam kes dakwaan meminda laporan audit 1MDB, berkata tindakan Najib secara tidak sah yang mahu laporan berkenaan disemak terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada PAC itu adalah melanggar Seksyen 8(3) Akta Audit 1957.
Dalam perbicaraan kes terbabit sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Najib mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Ambrin Buang, pada 22 Februari 2016 bagi membincangkan laporan audit berkenaan sebelum didakwa meminta perubahan dibuat terhadap dokumen itu.
Sri Ram berkata, Najib tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk memanggil Ambrin (dalam pertemuan terbabit).
"Malah, mengikut peruntukan Perlembagaan, tertuduh tidak boleh mencampuri urusan Ketua Audit Negara yang berfungsi dan bertindak secara bebas.
"Mesyuarat pada 22 Februari 2016 yang memerlukan Ambrin membincangkan kandungan laporan audit terbabit, melanggar perintah halangan kerahsiaan yang jelas bertentangan Seksyen 8(3) Akta Audit 1957.
"Berdasarkan nas perundangan dan peruntukan dalam Perlembagaan, pendakwaan menegaskan bahawa Ketua Audit Negara berfungsi serta berperanan secara bebas melalui Perlembagaan," katanya.
Sri Ram berkata, ia adalah menyalahi undang-undang bagi mana-mana orang mengganggu pelaksanaan tugas mengikut Perlembagaan oleh Ketua Audit Negara, kerana Seksyen 8(3) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan untuk menyebabkan Ketua Audit Negara membocor atau menyampaikan apa-apa maklumat kepada pengetahuannya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Katanya, Najib mempunyai kepentingan dalam 1MDB membabitkan campur tangan dalam urusan beberapa individu untuk menghalang laporan awal dibentangkan kepada PAC.
Beliau berkata, Najib adalah pemegang saham korporat 1MDB dan mempunyai kuasa ke atas perniagaan serta hal ehwal syarikat, malah bekas Perdana Menteri berkenaan juga adalah Pengerusi Lembaga Penasihat ketika itu.
Katanya, Najib mempunyai kepentingan peribadi dalam hasil siasatan PAC dan didakwa menggunakan kedudukan untuk mengarahkan Ketua Setiausaha Sulitnya ketika itu, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, memastikan nama Jho Low dikeluarkan daripada dokumen audit.
Berhubung bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula, Sri Ram berkata, masih diragui sama ada beliau sudah membuat pendedahan penuh dalam keterangannya selaku saksi pendakwaan.
Beliau berkata, kini terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada Arul Kanda berhak mendapat indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) dan seterusnya dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib.
"Kini beban terletak ke atasnya untuk memuaskan hati mahkamah (bahawa dia berhak mendapat sijil indemniti berhubung tuduhan bersubahat)," katanya.
Sementara itu peguam, Datuk N Sivananthan, berhujah tiada apa yang hendak diselindungkan oleh anak guamnya (Arul Kanda) dalam keterangan sepanjang dua hari dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Sivananthan berkata, Arul Kanda membuat pendedahan yang benar dan tiada apa-apa yang menunjukkan keterangan diberikannya tidak jujur, justeru tidak adil untuk pendakwaan menyatakan beliau adalah seorang saksi tidak adil.
Beliau berkata, pendakwaan sepatutnya memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi terhadap anak guamnya atau menganggap Arul Kanda sebagai saksi belot jika mereka berfikiran bahawa beliau tidak bercakap benar.
"Tetapi kedua-dua perkara itu tidak dilakukan (oleh pendakwaan)," katanya.