KOTA KINABALU: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membabitkan anggota keselamatan di semua 53 pusat mengundi awal di Sabah yang dibuka bermula jam 8 pagi tadi, berjalan lancar dengan cuaca cerah sehingga petang ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata seramai 9,116 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dijadual mengundi di 41 pusat pengundian awal seluruh negeri pada hari ini.
Beliau yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini ketika ditemui pemberita berkata polis akan memastikan proses pengundian awal bagi anggotanya di Sabah berjalan lancar.
Sementara itu, Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab serta isteri Datin Zarina Alif menjadi individu paling awal mengundi di Kem Lok Kawi di sini, dengan seramai 11,181 anggota tentera serta pasangan dijadual mengundi di 12 pusat pengundian seluruh negeri.
"Dijangka lebih 70 peratus pengundi akan hadir untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Setiap anggota dan pegawai yang mengundi perlu mengikut jadual yang ditetapkan, mereka perlu mendaftar ke unit masing sebelum dan selepas mengundi," katanya.
Di SANDAKAN, dua pusat pengundian awal anggota polis iaitu Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Pangkalan Pasukan Polis Marin Sandakan dibuka membabitkan 374 anggota serta pasangan mereka yang mengundi awal.
Pusat pengundian di Kompleks Perumahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Taman Samudera pula membabitkan 283 pengundi terdiri anggota serta pasangan daripada Markas Wilayah Laut 2, yang menunaikan tanggungjawab mereka dipantau Panglimanya Laksamana Muda Sazalee Shoib.
Di LAHAD DATU, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad merupakan antara 518 anggota polis yang dijadual mengundi di IPD Lahad Datu terletak dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).
Di SEMPORNA, terdapat 400 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan PRU15 terdiri daripada anggota polis yang mengundi di IPD Semporna dipantau Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah.
Sebanyak 25 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU15 di Sabah, dengan Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan PRU15 dan PRK DUN Bugaya berjalan serentak hari ini untuk pengundian awal, dan 19 Nov sebagai hari mengundi. – BERNAMA