Selasa, 15 November 2022 | 12:18pm
Pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dalam kawasan Parlimen Shah Alam menjalankan tanggungjawab untuk pengundian awal sempena PRU15
Pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dalam kawasan Parlimen Shah Alam menjalankan tanggungjawab untuk pengundian awal sempena PRU15

Kerajaan pasca PRU15 perlu perangi semua bentuk rasuah

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menggesa kerajaan yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, untuk memberikan keutamaan memerangi rasuah dalam semua bentuk.

Presiden TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan, berkata rasuah di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan dan mesti ditangani dengan segera.

"Tandanya ialah Skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan TI menurun secara beransur-ansur sejak beberapa tahun lalu. Malah terdapat bekas Perdana Menteri kini dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram semasa memegang jawatan.

"Kami kerap melihat laporan bahawa ahli politik, penjawat awam dan ahli perniagaan didakwa dan disabitkan atas kesalahan berkaitan rasuah," katanya dalam satu kenyataan.

Mohan juga turut berkata, sebaik sahaja kerajaan baru tiba di Putrajaya, dasar dan juga tumpuan perlu diberikan perhatian terlebih dahulu sebelum menunaikan manifesto dan janji parti.

TI-Malaysia mencadangkan supaya akta pembiayaan politik dijadualkan dan melaksanakan rancangan pencegahan rasuah negara (NACP).

"Kerajaan juga perlu memperkukuhkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (2010) dan mengasingkan kuasa peguam negara dan pendakwa raya serta Memastikan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berfungsi dengan berkesan dan bebas menjalankan tugas," katanya.

Mohan turut mengingatkan kerajaan yang mewakili rakyat mesti bertanggungjawab dalam memastikan dana awam digunakan secara telus untuk kepentingan rakyat.

Kerajaan juga perlu mengamalkan toleransi sifar terhadap kebocoran, kerahsiaan, penyalahgunaan kuasa dan keuntungan peribadi. Kegagalan dalam berbuat demikian akan menggagalkan usaha negara dalam peperangan terhadap rasuah.

Berita Harian X