KEPALA BATAS: Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak mahu 'mendabik dada' atau bersikap optimis bahawa dirinya mampu mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada dua pilihan raya sebelum ini.
Reezal Merican berkata, semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Kepala Batas kali ini masing-masing dilihat mempunyai peluang yang seimbang.
Bagaimanapun, katanya beliau tetap meletakkan keyakinan tinggi bahawa rakyat Kepala Batas akan memberinya mandat sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat mereka.
"Kali ini setiap calon yang bertanding mempunyai peluang yang seimbang , namun segalanya diserahkan kepada para pengundi untuk menentukannya," katanya pada Majlis Santai bersama Media di Wisma UMNO Kepala Batas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau percaya bahawa pengundi mengimpikan sebuah kerajaan yang lebih stabil dibentuk selepas PRU15.
"Dalam hal ini, perlu ada elemen 'semak dan imbang' antara wakil rakyat atau pemimpin dengan rakyat itu sendiri termasuk di Kepala Batas.
"Maka, sebab itulah saya perlukan kemenangan yang jauh lebih meyakinkan dan nak pastikan kerajaan yang bakal terbina nanti benar-benar stabil dan boleh membawa kemakmuran kepada kita semua," katanya.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, beliau mendapati pola pengundian bagi pengundi muda memainkan peranan penting pada pilihan raya kali ini.
"Semua kategori pengundi itu penting sebenarnya tetapi apa yang saya nampak pola pengundian pengundi muda kali ini akan main peranan banyak sebab majoriti daripada mereka akan mengundi buat kali pertama terutamanya pengundi antara usia 18 hingga 25 tahun.
"Jadi, jangkaan saya, usia itu (antara 18 hingga ke 25 tahun) ini adalah kelompok penentu kepada pola pengundian pada PRU15 termasuk di Kepala Batas," katanya.