Isnin, 14 November 2022 | 11:26pm
Hishammuddin menerima sambutan daripada jentera BN ketika turun membantu kempen di Sungai Siput di Perak.
Hishammuddin menerima sambutan daripada jentera BN ketika turun membantu kempen di Sungai Siput di Perak.

Hishammuddin suntik 'tonik' buat jentera BN di Taiping, Sungai Siput

IPOH: Kesanggupan Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turun padang membantu kempen rakan seperjuangan di Taiping dan Sungai Siput di Perak menyuntik 'tonik' buat jentera parti di dua kerusi Parlimen berkenaan.

Walaupun jadual padat dengan aktiviti kempen di kawasan sendiri, Hishammuddin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sempat meluangkan masa menjelajah beberapa negeri.

Antara negeri dijelajah adalah Pahang dan Johor.

Sesudah selesai jelajah ke dua negeri berkenaan, Menteri Kanan Pertahanan itu meneruskan 'operasi' dengan membantu Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran merangkap calon BN Parlimen Sungai Siput.

Selaku sahabat lama, Vigneswaran menyifatkan kehadiran tokoh berpengalaman seperti Hishammuddin sememangnya ditunggu-tunggu.

"Kedatangan Hishammuddin umpama pembakar semangat khususnya buat jentera BN di Sungai Siput," katanya.

Untuk rekod, Sungai Siput adalah kawasan ikonik bahkan bersejarah kerana sinonim dengan tiga Presiden MIC iaitu Vigneswaran, Tun VT Sambathan, Tun Samy Vellu.

Hishammudin ketika berucap sempat menyampaikan kata-kata semangat kepada jentera BN Sungai Siput.

"Saya kagum dengan semangat jentera BN Sungai Siput kerana merasakan ia antara terbaik pernah saya lihat sepanjang berkempen di luar Sembrong," katanya.

Di Taiping pula, Hishammuddin menyertai jelajah mesra di Pasar Pagi Kamunting bersama calon BN Taiping, Neow Choo Seong dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kamunting serta Aulong.

Choo Seong sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai di Kedutaan Besar Malaysia ke Washington sewaktu Hishammuddin bergelar Menteri Luar.

Beliau banyak membantu dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia sewaktu pandemik COVID-19 melanda pada peringkat awal.


Suara Kita

Berita Harian X