Isnin, 14 November 2022 | 10:49pm

PRU15: `Bawa angin perubahan di Sungai Buloh'

KOTA DAMANSARA: 'Let's bring the wind of change (Mari kita bawa angin perubahan), biar 19 November ini jadi ribut taufan (perubahan) di Sungai Buloh.

Demikian tekad calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin yang turut disambut sorakan orang ramai ketika Menteri Kesihatan itu membuat penampilan ringkas di sebuah tapak perniagaan di sini, malam ini.

Beliau antara lain mengakui angin perubahan itu sudah dapat dirasai selepas beberapa hari berkempen, biarpun Parlimen Sungai Buloh di dominasi Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

"I will do my best (saya akan buat yang terbaik), saya berjanji dengan jiwa dan raga. Saya dihantar ke kawasan sangat susah, dan sukar. Kalau anda (pengundi Sungai Buloh) sokong saya, I will repay your debt. Saya akan balas budi, saya akan menjadi Ahli Parlimen terbaik untuk Sungai Buloh," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir membantu Khairy dalam kempennya untuk memenangi persaingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan antara BN, PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di situ membabitkan Khairy, manakala Datuk R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

Parlimen Sungai Buloh sebelum ini dimenangi R Sivarasa daripada PH dengan majoriti 26,634 undi.

Dalam pada itu, Khairy menafikan naratif 'satu undi untuk KJ satu undi untuk orang lain', selain menegaskan ia adalah sesuatu yang tidak seharusnya dijadikan perhatian oleh pengundi Sungai Buloh.

"Jangan dengar naratif 'satu undi KJ adalah satu undi untuk orang lain'. Saya akan jaga Sungai Buloh dengan baik.

"Dan satu hari nanti insya-Allah saya nak jadi Perdana Menteri dari Sungai Buloh. Tak payah fikir tentang orang lain," kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

Bercakap pada sidang media, Khairy beriltizam meningkatkan usaha bagi menempuhi tempoh kempen yang masih berbaki beberapa hari, selain mengakui lebih banyak kerja perlu dilakukan untuk menarik sokongan daripada pengundi Sungai Buloh.

"Saya baca pelbagai laporan dan dengar pandangan dari pelbagai pihak. Kami tahu penduduk Sungai Buloh mahu keterbukaan, dan mungkin ada antara mereka yang masih belum memutuskan untuk menyokong siapa.

"Saya diberitahu mereka (pengundi) dalam dilema, mahu memberi peluang kepada KJ walaupun mereka adalah pengundi tradisional untuk PH. Namun, ada angin perubahan di sini. Tiga penggal di bawah PH, dan terlalu banyak isu asas yang perlu diselesaikan.

"Ini boleh dilakukan jika mempunyai seorang Ahli Parlimen yang kuat dan mempunyai pengalaman (dalam kerajaan), selain berkemampuan mengkoordinasi dan menarik perhatian (pihak berkuasa)," katanya.

Mengenai syor beliau dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Khairy sebaliknya menegaskan keutamaannya ketika ini adalah misi menawan Sungai Buloh bagi menyumbang kemenangan BN di seluruh negara pada PRU15.

Timbalan Ketua UMNO Rembau itu turut mengakui beliau kekal menyokong Ismail Sabri dalam apa jua kapasiti atau peranan, seperti dilakukan sebelum ini.

"Seperti Perdana Menteri sebut tadi, biar kita menang dulu. Saya mempunyai hubungan baik dengan beliau, selain Ismail Sabri memberi saya menerajui portfolio kanan sebagai Menteri Kesihatan. Paling penting kita menang dulu," katanya.


Suara Kita

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin ketika program kempen di Uptown Kota Damansara. NSTP/Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaludin ketika program kempen di Uptown Kota Damansara. NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X