Isnin, 14 November 2022 | 5:20pm
Anggota polis membantu petugas Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir bagi proses pengundian awal sempena PRU15 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Anggota polis membantu petugas Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir bagi proses pengundian awal sempena PRU15 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur. - NSTP/ASWADI ALIAS.

'Warga ATM, keluar mengundi dan pilih dengan bijak'

KLUANG: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal esok, bagi mendapatkan kerajaan yang stabil dengan kemakmuran negara.

Beliau berkata, setiap undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah penting untuk menentukan kerajaan yang memerintah bagi tempoh lima tahun yang mendatang.

"Keluarlah beramai-ramai sebab ini adalah hak saudara dan saudari semua bagi stabilkan dan kemakmuran negara.

"Buatlah pilihan yang bijak, pilihlah calon dan parti yang mempunyai rekod dan pencapaian yang baik, inilah pertimbangan yang adil.

"Kalau boleh keluar awal, jaga disiplin semasa melalui setiap proses pengundian.

"Pelihara nama baik ATM, buktikan ATM contoh teladan terbaik kepada masyarakat.

"Selamat mengundi semua," katanya dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

Mengimbas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan, Hishammuddin berkata, banyak kem dan pangkalan dilawati di seluruh negara selepas kembali ke kementerian itu.

"Apa yang sentiasa di hati, teringat sejak saya awal masuk semula sebagai Menteri Pertahanan, banyak kem dan pengalaman saya lawati

"Timur barat utara selatan, Sabah dan Sarawak berceloreng hijau, biru dan kelabu.

"Setiap satunya sihat dalam ingatan, sarat dengan semangat kekeluargaan ATM, " katanya.

Berita Harian X