KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan rang undang-undang (RUU) berkaitan antikebencian atau mencegah kandungan serta tindakan yang boleh menimbulkan pergaduhan antara kaum sekiranya parti itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata dengan adanya RUU seumpama itu ia mampu menghalang kejadian seperti kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, yang mengatakan sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka itu, tidak berulang.
Calon PH bagi Parlimen Pandan itu berkata, setiap kali tibanya PRU pasti kenyataan seumpama itu akan dikeluarkan sama ada dalam kempen atau ceramah, namun apabila perkara itu 'kantoi' pasti pihak berkaitan hanya meminta maaf dan akan mengulanginya lagi.
"Oleh itu, dengan perbincangan yang berlaku dalam Keadilan, kita menyatakan sekiranya PH menang dalam PRU15 ini salah satu daripada keutamaan adalah untuk melaksanakan undang-undang anti kebencian.
"Ia bagi mencegah segala kandungan atau tindakan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap sesuatu kaum, agama, jantina serta yang difikirkan jelas sehingga menjejaskan ketenteraman awam," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Keadilan, hari ini.
Sebelum ini, tular video berdurasi 28 saat memaparkan Mohd Shahiful memberikan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi PH dan BN.
Bagaimanapun, Mohd Shahiful dalam kenyataannya baru-baru ini memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
Mengulas tindakan Mohd Shahiful itu, Rafizi berkata walaupun permohonan maaf sudah dibuat, beliau tetap akan membuat laporan polis mengenai tindakan Mohd Shahiful itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya jam 11.30 pagi esok.
"Terima kasih kepada pihak polis kerana mengambil langkah proaktif sebelum saya buat laporan kerana kempen seumpama ini mengancam kepada ketenteraman awam.
"Sejak sekian lama kempen seumpama ini diadakan dan cuma sekali sekala sahaja bila dirakam dan kantoi. barulah mereka minta maaf. Namun tiada perubahan terhadap sikap atau tanggungjawab," katanya.