ALOR SETAR: Selepas tular video ceramah memberi hukum undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka, Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir memohon untuk berehat daripada jawatan itu.
Permohonan itu dibuat menerusi satu surat ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 November lalu.
Dalam surat itu Mohd Shahiful turut menyatakan akan berehat daripada semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Beliau, berkata permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.
"Ucapan di dalam video itu adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya Perikatan Nasional (PN) amnya. Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada di dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful berkenaan.
Susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, Mohd Shahiful menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan pada 11 November, beliau dalam satu kenyataan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan PH masuk neraka'.
Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video disiarkan di Facebook Pemuda PAS Sik dan beliau turut memohon dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).