PUTRAJAYA: Minggu epidemiologi ke-45 (ME42/2022) menyaksikan peningkatan beberapa indikator kemasukan kes COVID-19 ke fasiliti kesihatan berbanding minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 14.4 peratus pada ME44/2022.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan peningkatan sebanyak 16.2 peratus pesakit kategori 3, 4 dan 5 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi.
Bagaimanapun, katanya, kemasukan pesakit kategori 1 dan 2 menunjukkan penurunan sebanyak 15.2 peratus.
"Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022 menunjukkan penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak sembilan peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak lima peratus; manakala semua katil PKRC yang tidak aktif ditutup.
"Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat sebanyak 0.4 peratus pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, pemantauan terhadap kes-kes positif COVID-19 oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan sedikit peningkatan.
Beliau berkata, KKM merekodkan peningkatan bilangan kedatangan pesakit ke CAC sebanyak 32.3 peratus.
Begitu juga dengan bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turut meningkat sebanyak 19.6 peratus namun bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan ke hospital menunjukkan penurunan sebanyak 3.0 peratus.
"Jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) menunjukkan peningkatan 2.5 peratus pada akhir ME 45/2022 berbanding ME 44/2022; iaitu daripada 27,514 kepada
28,212 kes.
"Daripada jumlah itu, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 7.3 peratus (2,192 kes)," katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak 25 Januari 2020 sehingga 12 November lalu, kumulatif kes baharu COVID-19 sudah mencecah 4,946,583 dengan 4,879,195 kes sembuh, 36,546 kes kematian dan 7,134 kluster jangkitan termasuk 49 kluster aktif.
Beliau berkata, bilangan kes sembuh pada ME 45/2022 meningkat sebanyak 38.5 peratus (20,718 kes kepada 28,704 kes) berbanding minggu sebelumnya manakala bilangan kes baharu pada menurun sebanyak 13.4 peratus iaitu 26,616 kes kepada 23,045 kes.
Katanya, bilangan kes tempatan menurun sebanyak 13.4 peratus iaitu daripada 26,577 kes kepada 23,027 kes dan bilangan kes import menurun sebanyak 53.8 peratus iaitu 39 kes kepada 18 kes.
"Bilangan kes kematian pada ME 45/2022 juga meningkat sebanyak 82.8 peratus (29 kes kepada 53 kes). Purata kes aktif setiap hari bagi ME 45/2022 meningkat sebanyak 1.7 peratus (33,449 kes kepada 34,033 kes) berbanding ME 44/2022," katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, hasil pemantauan mendapati sebanyak 194 sampel penyakit seperti influenza (ILI) dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 25.5 peratus pada ME 45/2022 dan sebanyak 1.7 peratus sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 pada ME 45/2022.