HULU SELANGOR: Rakyat diminta memberi peluang kepada calon wanita yang mewakili hanya 13.4 peratus atau 127 orang daripada keseluruhan 945 calon bertanding merebut kerusi Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Secara keseluruhan, seramai 187 calon wanita mencuba nasib pada PRU15 dengan 60 daipada mereka adalah calon di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha, berkata daripada keseluruhan 1,386 calon kerusi Parlimen dan DUN yang mengambil bahagian pada PRU15, majoriti adalah lelaki iaitu sebanyak 87 peratus.
"Dalam masa beberapa hari lagi, rakyat Malaysia akan keluar mengundi dan memilih Ahli Parlimen serta ADUN di beberapa negeri. Saya ingin mengingatkan bahawa komposisi Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat sebelum ini hanya sekitar 15 peratus daripada 222 ahli.
"Ini masih jauh daripada sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Parlimen wanita yang ditetapkan banyak pihak sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemerkasaan wanita adalah antara tunjang utama PBM apabila empat calon wanita diberi kepercayaan daripada enam kerusi Parlimen yang ditanding parti berkenaan pada PRU ini.
Haniza bertanding di Parlimen Hulu Selangor, manakala Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang. Dua lagi calon parti itu, Dr Daroyah Alwidi bertanding di Kapar dan Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din di Labuan.
Di peringkat DUN pula, daripada dua kerusi ditandingi PBM, satu membabitkan calon wanita, iaitu Nazmahwati Walli di kerusi DUN Bugaya di Sabah.
Haniza berkata, komposisi calon wanita yang begitu besar dari sebuah parti tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, sedangkan penggubal undang-undang wanita didakwanya mempunyai beberapa kelebihan berbanding lelaki.
Katanya, kajian menunjukkan pemimpin lelaki cenderung menjadi lebih agresif dan eksklusif, sedangkan kepemimpinan wanita bersifat lebih inklusif, konsultatif dan mempunyai lebih empati.
"Dalam dunia hari ini yang berpecah-belah, kepemimpinan politik yang disemai dengan naluri keibuan boleh membuat perubahan yang ketara dalam kehidupan rakyat.
"Kebangkitan ekstremisme yang kini kita lihat di negara Barat dan telah merebak ke bahagian dunia ini, termasuk Malaysia, terutamanya disebabkan rakyat berasa disisihkan daripada proses politik," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi memberi peluang kepada PBM yang meletakkan ramai calon wanita bersaing pada PRU15 ini.
"Saya merayu pengundi untuk memberi peluang kepada PBM. Negara memerlukan lebih ramai pemimpin politik wanita dan dalam hal ini, PBM perlu diberi peluang pada PRU kali ini," katanya.