BERA: Kerajaan sentiasa prihatin membantu warga desa termasuk usahawan luar bandar dalam usaha mengukuhkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan mahu memastikan kawasan luar bandar mencapai aspirasi seperti mana dirumuskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan 'Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik' menjelang 2030.
Beliau berkata, warga desa kini semakin aktif dalam pelbagai bidang ekonomi yang tidak hanya tertumpu kepada aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau nelayan bagi yang tinggal di pinggir pantai.
"Keusahawanan perlu menjadi kerjaya pilihan utama dalam bidang ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadi sumber pendapatan berterusan dan seterusnya memberikan manfaat lebih meluas kepada penduduk luar bandar.
"Kerajaan memperuntukkan lebih RM10.9 bilion dalam Bajet 2023 iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB ) untuk memastikan infrastruktur luar bandar lebih baik," katanya pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa @ Bera, di Dataran Kerayong, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Mini Karnival Usahawan Desa Bera ini menyasarkan 10,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM100,000 dengan pembabitan 60 usahawan desa.
Program pemasaran KPLB
Perdana Menteri berkata, Karnival Usahawan Desa antara program pemasaran KPLB bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan mengadakan platform mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta.
"Usahawan luar bandar akan dapat memanfaatkan kemudahan serta insentif yang disediakan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu yang lebih luas.
"Penganjuran Mini KUD Bera ini diharap dapat mencapai objektif utama menjadi platform kepada usahawan luar bandar untuk memasarkan produk selain mewujudkan peluang akses pasaran kepada pemborong, pengedar dan pembeli," katanya.
Beliau berkata, usahawan luar bandar sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana memiliki kepakaran, potensi dan kemudahan.
Sementara itu, usahawan makanan, Mohd Bazli Samsudin, berkata produk sambal yang diusahakan sejak 2014 sudah mendapat tempahan daripada pengguna sehingga ke Singapura.
Katanya, bimbingan dan bantuan kewangan diterima ketika memulakan perniagaan ternyata membantu melonjakkan pendapatan untuk menyara keluarga.
"Saya bermula secara kecil-kecilan di rumah dan kini mampu tersenyum apabila memiliki produk jenama sendiri. Malah, bukan saja mendapat sambutan dalam kalangan penduduk tempatan tetapi produk semakin dikenali sehingga Singapura," katanya.
Usahawan Kraf Orang Asli, Noorzareena Norya, berkata bimbingan KPLB membantu produk kraf keluarannya dikenali masyarakat.
Tingkat pendapatan
Katanya, pada masa sama dia turut berpeluang membantu meningkatkan pendapatan Orang Asli suku Semelai yang mahir menganyam tikar, beg dan produk kraf lain.
"Saya menggunakan platform media sosial dan dalam talian untuk memperkenalkan produk bukan saja di Pahang, malah ke seluruh negara. Kami digalakkan KPLB untuk menggunakan platform dalam talian untuk memasarkan produk supaya jangkauan produk semakin meluas," katanya.
Selain itu, Ros Akashur yang menjalankan perniagaan kerepek kini mampu tersenyum lebar apabila produk keluarannya sentiasa mendapat sambutan.
Katanya, dengan teknik pemasaran dan penjenamaan yang baik membantu produk keluaran saya bersaing dengan produk lain seluruh negara.
"Usahawan desa menyertai seminar anjuran KPLB untuk mengetahui teknik terkini pasaran dan kehendak pengguna semasa. Insiatif KPLB memang baik untuk usahawan desa menonjol dan tidak hanya terhadap kaedah pemasaran konvensional," katanya.