KUALA LUMPUR: Pengundian pos ialah proses biasa pada semua pilihan raya dan semua kertas undi pos bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dikeluarkan bermula pada 7 November lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ejen calon juga sudah dimaklumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengenai tarikh pengeluaran undi pos.
"Justeru, tidak timbul sebarang isu kerana ini proses biasa dalam semua pilihan raya sama ada pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU).
"Terpulang kepada individu yang berdaftar dan menerima kertas undi pos. Apa yang penting, kertas undi pos perlu sampai ke Pejabat Pegawai Pengurus berkaitan sebelum jam 5 petang pada hari pengundian, 19 November ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk PRU-15.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang, memaklumkan proses undi pos bagi anggota tentera yang didaftarkan sebagai pengundi pos sudah bermula 7 November 2022.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan Anwar kononnya anggota tentera menerima RM300 untuk mengundi pihak tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang.