Kota Bharu: Bila disebut Dabong, bandar kecil di daerah Kuala Krai, orang ramai hanya membayangkan tempat itu terdapat Gunung Stong.
Persepsi masyarakat sudah bertukar sejak beberapa tahun lalu selepas bandar itu menjadi tumpuan percutian penduduk Kelantan, mahupun luar negeri ini hasil usaha kerajaan negeri mempromosi serta menaik taraf infrastruktur kawasan berkenaan.
Pengunjung mahu menikmati suasana yang berbeza, iaitu jauh daripada kesibukan kota dengan menyaksikan pemandangan hutan dan air terjun yang menenangkan minda.
Tidak mustahil ramai pelancong dari luar Kelantan sanggup datang ke negeri ini semata-mata untuk merasai pengalaman bercuti di Dabong, sekali gus mampu menaikkan nama Kelantan.
Untuk penduduk Kelantan pula, mereka lebih memilih kereta api untuk ke Dabong kerana menyifatkan perjalanan ke Dabong tidak lengkap, sekiranya tidak menaiki kereta api.
KTMB tambah gerabak
Tidak hairanlah train to Dabong mencetuskan fenomena sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika itu, hampir setiap hari tiket kereta api habis sehingga pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terpaksa menambah gerabak untuk menampung permintaan tinggi.
Banyak boleh dilawati di Dabong, selain aktiviti mencabar termasuk menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), mandi di air terjun, dan melawat gua.
Antara yang sering dikunjungi pengunjung ialah Lata Kenerong dan Lata Kertas. Orang ramai tidak akan melepaskan peluang merakam fenomena 'God Light' di Gua Ikan.
Dabong memiliki beberapa resort dan 40 inap desa, tetapi tempahan penuh setiap hujung minggu mahupun cuti sekolah.
Calon PAS Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman, meluahkan rasa syukur terhadap rezeki yang diperoleh, terutama penduduk di Dabong dan Kuala Krai.
Katanya, pertumbuhan ekonomi di Dabong itu mampu meningkatkan pendapatan penduduk di Parlimen berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin, berkata Dabong mula tular dan dianggap fenomena sebelum PKP dan selepas PKP.
"Selepas PKP penduduk Kelantan tidak dibenarkan rentas negeri. Mereka mula memberi tumpuan kepada Dabong untuk mencari kelainan bercuti kerana sebelum ini mereka memilih hotel di bandar," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus menambah baik kawasan berkenaan supaya menjadi tarikan utama pelancong.
"Agensi kerajaan akan menambah baik kemudahan asas dan menyediakan tempat bergambar yang mampu menaikkan nama lokasi berkenaan," katanya.