Isnin, 14 November 2022 | 9:48am
Ismail Sabri ketika majlis perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, kelmarin. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ismail Sabri ketika majlis perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, kelmarin. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Keluarga Malaysia erti sebenar perpaduan negara

MUAR: Teras dan pengkayaan nilai dalam konsep Keluarga Malaysia bukan sahaja mendasari agenda kerajaan, tetapi juga membina keharmonian dan memupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

Konsep yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja dilantik menerajui pentadbiran negara dan jelas semangat kekeluargaan itu diterima baik dan terserlah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum sekali gus menjadikannya cukup disenangi semua.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 23 Oktober tahun lalu, konsep terbabit menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19.

Berdasarkan buku kecil yang mengandungi maklumat ringkas 'Keluarga Malaysia', tiga teras utama itu ialah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Bagi pengkayaan nilai di bawah tiga teras berkenaan, ia termasuk menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Nilai lain ialah menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga, menyuburkan budaya komunikasi berhemah dalam kalangan keluarga dan masyarakat serta membina akhlak mulia seluruh anggota keluarga.

Turut digariskan ialah nilai kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan dalam memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai budaya khidmat dalam keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.

Justeru, visi Keluarga Malaysia ialah memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi yang bermatlamat sebagai aspirasi jangka panjang serta kalis cabaran di masa hadapan.

Malah, Perdana Menteri dilaporkan berkata, konsep Keluarga Malaysia berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki setiap keluarga.

Katanya, apa yang dilakukan kerajaan ialah mengharmoni dan mengangkat nilai terbabit sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

Sedia pelbagai bantuan

Bagi penjawat awam, Zaidi Zainal, 36, konsep Keluarga Malaysia banyak memberi peluang dan kelebihan kepada rakyat terutama ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik pasca pandemik COVID-19.

Jelasnya, menerusi konsep itu, pelbagai bantuan dan kaedah disediakan kerajaan dalam membantu serta meringan beban dihadapi rakyat terutama golongan B40.

"Konsep ini amat universal dalam mengikat kembali perpaduan dalam kalangan rakyat kerana seperti yang kita tahu nilai kebersamaan itu rapuh sejak beberapa tahun lalu dan kini sudah ada platform untuk mengeratkannya semula.

"Bagi saya menerusi aspirasi ini, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat seperti Jualan Keluarga Malaysia dan Karnival Keluarga Malaysia amat baik kerana ia memberi peluang kepada usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka serta memberi peluang kepada yang kurang kemampuan untuk mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga mampu milik.

Pegawai Teknologi Maklumat, Teong Hock Hon, 36, berkata Perdana Menteri Sendiri boleh dianggap seorang pemimpin yang hebat walaupun dalam tempoh yang singkat, berupaya membangunkan dan memulihkan ekonomi yang amat mencabar pasca pandemik COVID-19.

"Dengan penyatuan, kesaksamaan serta semangat Keluarga Malaysia yang dibawanya, negara mula menunjukan impak positif terutama beberapa sektor ekonomi mula menampakkan perubahan yang positif.

"Selain itu, beberapa inisiatif diperkenalkan untuk melestarikan kesejahteraan rakyat juga memberi kesan yang positif terutama sektor kesihatan di Malaysia menunjukkan proses peralihan yang berjaya diuruskan dengan baik dan kesannya memberi impak positif kepada negara terutama dalam menarik negara luar untuk terus menjalin kerjasama dengan Malaysia," katanya.

Perluas aspirasi

Bagaimanapun, bagi pekerja swasta, Faris Omar, 52, biarpun konsep diperkenalkan Perdana Menteri disifatkan sebagai satu usaha ikhlas untuk menyatu padukan rakyat, maksud sebenar aspirasi itu perlu diperluaskan lagi.

"Konsep Keluarga Malaysia amat baik dan patut disokong, namun pada peringkat bawahan, ia masih belum sampai. Kerajaan wajar memperluaskan lagi kempen supaya pengertian Keluarga Malaysia dapat difahami dengan lebih mendalam di peringkat akar umbi," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Shahrul Nizam Zakaria, 37, berpandangan konsep terbabit perlu dihebahkan dengan lebih banyak supaya setiap rakyat termasuk di kawasan luar bandar dapat mengetahui dan memahami konsep berkenaan.

"Bagi mereka yang tinggal di bandar tiada masalah untuk memahami konsep Keluarga Malaysia namun bagi mereka yang di luar bandar, sukar mendapat maklumat akibat masalah capaian internet dan sebagainya.

"Amat sayang jika konsep baik yang diperkenalkan Perdana Menteri tidak sampai ke peringkat bawah," katanya.

Berita Harian X