Isnin, 14 November 2022 | 7:49am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

PRU15: Polis siasat khianat bahan kempen di Raub, Pekan

KUANTAN: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes jenayah khianat, masing-masing satu di Raub dan Pekan, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan di Raub, bendera dan kain rentang parti dicabut dan dibuang ke dalam longkang di FELDA Lembah Klau.

Katanya, di Pekan pula membabitkan kejadian 30 bendera dan papan iklan calon parti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar dicabut dan dirosakkan oleh individu di sepanjang Jalan Kampung Meranti, Nenasi.

"Susulan laporan itu, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan khianat.

"Dalam kes ini, polis mengingatkan kepada individu supaya tidak melakukan provokasi bagi mengelak sebarang kekecohan atau insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang tempoh Pilihan Raya UmumKe-15 (PRU15)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, setakat ini, sebanyak 329 permit untuk mengadakan ceramah membabitkan Parlimen dan DUN di Pahang diluluskan.

Justeru, katanya, setiap calon hendaklah memastikan permit ceramah dipohon sebelum berkempen.

"Ketidakpatuhan akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil terhadap calon parti yang bertanding.

"Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Di Pahang, seramai 55 calon bertanding di Parlimen manakala 150 calon pula di DUN.

Berita Harian X