Ahad, 13 November 2022 | 6:08pm
Naib Presiden PKR yang juga calon parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. - Foto fail NSTP
Naib Presiden PKR yang juga calon parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. - Foto fail NSTP

Nurul Izzah salam, cium tangan pengundi dipuji netizen

KUALA LUMPUR: Sikap menghormati orang tua oleh calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mendapat reaksi positif dalam kalangan pengguna media sosial Twitter.

Pemilik akaun Twitter @dxnishxziz memuatnaik sebuah video yang memaparkan Nurul Izzah bersalaman sambil mencium tangan seorang warga emas ketika memasuki khemah dipercayai lokasi berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Lebih mencuri tumpuan pengguna apabila beliau yang berjalan dengan laju ketika itu berhenti untuk mengambil masa bertanya khabar sebelum bersalam dan mencium tangan warga emas terbabit.

"Korang (anda semua) tengoklah sendiri anak bakal PM (Perdana Menteri) @anwaribrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akhlak dan adab dengan orang tua sangat tinggi.

"Perkara pertama yang beliau lakukan selepas keluar kereta adalah salam nenek saya. Sebelum pergi beliau peluk dan kenalkan suaminya kepada nenek saya," kata pemegang akaun itu dalam satu hantaran di Twitter miliknya, semalam.

Rata-rata pelayar internet media sosial terbabit turut meluahkan rasa sama dengan mengagumi Nurul Izzah adalah seorang pemimpin wanita yang berkaliber dan berjiwa rakyat.

"Tak pernah tak terpukau dengan anak muda yang seorang ini, dari dulu lagi," kata pemilik akaun @ashrafnaserudin.

"Suka sangat dengan Nurul Izzah ni, semua bagus termasuk pengucapan awam dan kerjanya," kata seorang lagi pemilik akaun @CityLita.

"Saya sangat berharap dapat lihat dia memerintah Malaysia suatu hari," kata @iamjonzs.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Nurul Izzah (PH), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Fawwaz Mat Jan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Mohamad Nasir Othman calon bagi Gerakan Tanah Air (GTA).

Pada PRU14, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memenangi kerusi terbabit dengan 35,534 undi menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 15,668 undi.

Berita Harian X