SUNGAI BULOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar segera menyerahkan bukti dakwaannya terhadap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gesaan itu dikemukakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membolehkan SPRM memulakan siasatan berhubung tuduhan anggota ATM di Bera, Pahang dibayar RM300 untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, tindakan itu antara lain akan memberi pembelaan sewajarnya kepada anggota ATM, selain menyifatkan tuduhan Anwar itu sebagai tidak adil dan dibuat semata-mata untuk meraih undi.
"Saya tengok paling penting sekarang ini ialah kalau ada perkara yang perlu disiasat, agensi akan siasatlah. Anwar pandai tuduh sahaja, kalau nak kita siasat berilah bukti. Dia kata ada bukti, bawalah kepada SPRM.
"Tunjuklah bukti untuk kita siasat. Saya tak mahu nama baik ATM, integriti dan maruah anggota saya di ATM diperlekehkan sebegitu rupa.
"Ini adalah sesuatu yang keterlaluan dan kalau nak berpolitik pun janganlah sesempit itu untuk meraih undi orang ramai," katanya ketika ditemui pada program Sepetang bersama Pemimpin: Masyarakat Sungai Buloh bersama KJ dan DSH2O di sini, hari ini.
Semalam, Anwar yang juga calon PH Parlimen Tambun dilapor berkata beliau akan menyerahkan bukti anggota tentera terbabit dengan pengundian di Bera, Pahang dan dibayar RM300 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau tanpa menjelaskan bentuk bukti dimaksudkan, berkata sudah memberi kenyataan terbuka dan menyampaikan maklumat kepada SPR selain mempertahankan dakwaan itu.
Dakwaan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkannya sebagai fitnah dan merendahkan martabat anggota pasukan keselamatan, selain dikatakan sengaja menimbulkan persepsi negatif kepada BN menjelang PRU15.
Sementara itu, Hishammuddin yang calon BN Parlimen Sembrong berkata, undi pos adalah sebahagian daripada sistem demokrasi pilihan raya yang memberi kemenangan kepada PH, pada PRU14.
"Bila dia (Anwar) buat tuduhan itu ia menimbulkan kemarahan ATM. Undi pos adalah perkara biasa, masa PH menang pada PRU14 pun ada undi pos, tetapi nak tuduh anggota kita terima RM300 apa tujuannya? Sampai hari ini tidak jawab lagi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN menyuarakan keyakinan Khairy Jamaluddin mampu menawan Parlimen Sungai Buloh, selain menyifatkan calon gabungan itu sebagai 'game changer' bagi kawasan berkenaan.
Beliau antara lain mengetengahkan tawaran untuk membantu Khairy menyampaikan khidmat serta membangunkan Sungai Buloh, jika Menteri Kesihatan itu diberi peluang sebagai Ahli Parlimen di situ pada PRU15.
"Khairy bakal melonjakkan prestasi BN yang berani bertanding di kawasan bandar, jika berjaya menawan Sungai Buloh, pada PRU15.
"Pengundi juga bakal merasai perubahan positif jika memilih Khairy berdasarkan prestasinya yang tidak dapat dinafikan mampu melaksanakan tugas dengan baik, sama ada di pelbagai portfolio kementerian digalasnya sebelum ini, mahupun jawatan dalam bidang politik.
"Saya dan KJ (Khairy) akan bergandingan untuk membela rakyat jika terus diberi kepercayaan menganggotai Kabinet. Saya juga akan bantu KJ untuk tunaikan manifesto beliau di Sungai Buloh," katanya.