SUBANG: Kawasan perumahan berpagar dan kediaman dikawal petugas keselamatan diakui menyukarkan proses berkempen yang kini memasuki minggu kedua bagi calon mewakili parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keadaan itu dilihat menyukarkan calon berkempen secara konvensional, antaranya lawatan dari rumah ke rumah dan tinjauan, menyebabkan mereka perlu tampil lebih kreatif untuk meraih sokongan pengundi, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Kesukaran itu turut dirasai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, menyebabkan beliau tidak melepaskan peluang untuk berkempen di platform media sosial.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengakui saingan di Sungai Buloh menyaksikan cabaran tersendiri, merangkumi demografi penduduk yang berbeza, berbanding kawasan beliau sebelum ini di Rembau, Negeri Sembilan.
Selain itu, katanya, bilangan kawasan perumahan berpagar dan kediaman dikawal petugas keselamatan yang banyak antara lain turut menyumbang kepada faktor berkenaan.
"Saya bernasib baik kerana ada persatuan penduduk yang mengundang dan menyediakan platform untuk mendekati penduduk berkenaan. Biarpun tak sempat bertemu semua penduduk, sekurang-kurangnya persatuan penduduk dan wakil mereka ada berdialog dengan saya.
"Bagaimanapun, saya masih perlu menonjolkan setiap tawaran kepada penduduk Sungai Buloh di laman media sosial. Ia sangat penting untuk mendekati pengundi di kawasan bandar seperti di sini.
"Agak mustahil saya dapat berkunjung ke setiap rumah kerana terlalu banyak kawasan perumahan, termasuk komuniti berpagar dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Program Santai Badminton bersama Datuk Dr Lee Chong Wei di sini, hari ini.
Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon Bebas.
Saingan sengit di situ membabitkan Khairy, manakala R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.
Parlimen Sungai Buloh sebelum ini dimenangi R Sivarasa daripada PH dengan majoriti 26,634 undi.