GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, melahirkan rasa simpati terhadap pengundi terdiri golongan tua yang masih terpengaruh dengan undi PAS tiket ke syurga.
Beliau mendakwa, ramai rakyat di Kelantan terutama golongan tua menyerah kepada takdir dan ditipu oleh pemimpin PAS mengenai apa yang dijanjikan oleh mereka.
"Saya percaya mereka (pengundi golongan tua) pun tak percaya yang orang PAS boleh bawa mereka ke syurga," katanya pada program Himpunan Anak Muda Gua Musang di Dewan KPTM KESEDAR di sini.
Tengku Razaleigh berkata, beliau berharap pemikiran undi PAS masuk syurga dapat di tepis dan dibuang oleh pengundi dan seterusnya mengundi dengan bijak.
Beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.
Susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, beliau menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan semalam Mohd Shahiful dalam satu kenyataan, memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan PH masuk neraka'.