Ahad, 13 November 2022 | 11:56am
Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto NSTP
Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto NSTP

PRU15: PEJUANG akan jaga kebajikan penjawat awam - Tun M

DENGKIL: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) akan memberi perhatian kepada penjawat awam sekiranya dipilih menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Gabungan Tanah Air (GTA) tidak mempunyai manifesto sebaliknya mempunyai aku janji dan akan menjaga kebajikan penjawat awam.

"Sekiranya kita tawarkan sebelum PRU15, ia seolah-olah beri rasuah kerana Barisan Nasional (BN) tawarkan sebelumnya (pilihan raya) untuk membeli undi penjawat awam.

"Jika mereka ikhlas, tidak perlu beli undi dengan tawarkan wang tunai kepada penjawat awam yang kononnya ingin membantu keluarga ketika tiba musim pilihan raya.

"PEJUANG ingin menubuhkan sebuah kerajaan yang bersih kerana calon GTA tidak terbabit dengan kes mahkamah, bukan seperti BN," katanya ketika mengadakan tinjauan mesra bersama calon GTA Parlimen Sepang, Datin Che Asmah Ibrahim di pasar pagi Dengkil di sini, hari ini.

Pada hujung Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII).

Ismail Sabri dilaporkan berkata, KGT tambahan khas RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan membabitkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

Dr Mahathir berkata, penjawat awam perlu berfikir untuk memberi sokongan kepada parti mana pada PRU15 kerana ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah kerajaan stabil dan selepas Perikatan Nasional (PN) dan BN memerintah dengan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang negara menjadi tidak stabil dan kucar-kacir kerana pemimpin sering bertukar.

Berita Harian X