KOTA BHARU: Kempen calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Kota Bharu, Andy Tan @ Awang mendapat 'sentuhan' istimewa apabila beliau turut dibantu bekas gurunya untuk mendekati pengundi.
Andy, 54, bersyukur kerana bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab, Hassan Ghani, 70, sanggup membantu sejak hari pertama berkempen dengan memasuki kampung untuk bertemu penduduk.
"Disebabkan saya bergerak seorang, bekas guru menawarkan diri bagi membantu saya untuk bertemu masyarakat sekali gus memperkenalkan diri kepada pengundi.
"Saya juga dibantu dua lagi penduduk masuk ke kampung bertemu masyarakat, sama ada dari rumah ke rumah atau di kedai kopi," katanya ketika ditemui di Kampung Pintu Geng di sini.
Ahli perniagaan itu mengeluarkan belanja sendiri menempah bendera parti dan risalah untuk diedarkan kepada penduduk di kawasan Parlimen itu.
Katanya, walaupun berhabis ribuan ringgit, beliau tidak kisah kerana hanya satu niatnya untuk membantu penduduk yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi disebabkan harga barangan keperluan meningkat.
"Saya menjadi calon PRM kerana mahu membantu penduduk dengan membina ekonomi masyarakat di Kota Bharu khasnya dan Kelantan amnya.
"Pelbagai agenda yang saya mahu lakukan termasuk mewujudkan lebih banyak lagi pusat pelancongan sekali gus dapat menjana ekonomi penduduk.
"Ini kerana Kota Bharu mempunyai potensi yang besar dan banyak lagi lokasi yang belum diteroka," katanya.