Ahad, 13 November 2022 | 11:01am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Malaysia ulangi kekecewaan kurangnya kemajuan 5PC ke atas Myanmar pada Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi kekecewaannya terhadap kurangnya kemajuan sebenar mengikut garis masa dan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) oleh junta Myanmar bagi mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke negara itu.

Kementerian Luar melalui akaun Twitter rasminya @Wisma Putra berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-12 pada 11 November di Phnom Penh, Malaysia turut menekankan pentingnya draf resolusi rundingan semasa mengenai Myanmar dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Resolusi itu adalah manifestasi sokongan masyarakat antarabangsa terhadap 5PC dan pembentangan dan hasil positif daripada resolusi itu amat diharapkan.

Kenyataan Malaysia pada Sidang Kemuncak itu disampaikan oleh Wakil Khas kepada Perdana Menteri, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari.

Ia berkata Malaysia juga menyampaikan penghargaannya kepada Duta Khas bagi Setiausaha Agung PBB, Noeleen Heyzer atas sokongan padu dan usaha berterusan beliau bersama Duta Khas Pengerusi ASEAN dan negara anggota ASEAN ke arah mencari penyelesaian politik yang aman dan inklusif di Myanmar.

"Malaysia seterusnya menekankan bahawa ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar memberi penekanan terhadap kerjasama yang akan mengukuhkan multilateralisme," katanya di Twitter pada Sabtu.

Situasi semasa di Myanmar dibincangkan secara meluas oleh Pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-41 pada Jumaat, dengan pemimpin ASEAN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari yang sama menegaskan 5PC akan kekal sebagai titik rujukan yang sah dalam mencari penyelesaian untuk Myanmar dan perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Pemimpin juga menyatakan mengenai perlunya pelan pelaksanaan bagi menggariskan penunjuk ketara, praktikal dan boleh diukur dengan garis masa khusus untuk menyokong 5PC, manakala ASEAN juga akan menimbang untuk meneroka pendekatan lain yang boleh menyokong pelaksanaan 5PC sebagai usaha usaha untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-41 itu juga Malaysia turut menekankan mengenai perlunya bantuan untuk negara membangun dalam mempromosi kesaksamaan, keadilan dan pemerkasaan melalui sokongan kewangan, pembinaan kapasiti dan pemindahan teknologi, kata Wisma Putra.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40, Malaysia menekankan pentingnya untuk mengekalkan Kepusatan ASEAN di tengah-tengah trend geopolitik yang berkembang dan untuk ASEAN memanfaatkan jejak geostrategik dan geo-ekonominya. – BERNAMA

Berita Harian X