Ahad, 13 November 2022 | 10:56am

PRU15: Usahawan terkesan COVID-19 sentiasa dibantu - PM

BERA: Kerajaan sentiasa prihatin membantu rakyat khususnya usahawan luar bandar dalam usaha mengukuhkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata untuk itu kerajaan memberikan tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi dalam kalangan warga desa.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan kawasan luar bandar mencapai aspirasi seperti mana dirumuskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar iaitu wawasan "Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik" menjelang 2030.

Menurutnya, warga desa kini aktif dalam pelbagai bidang ekonomi yang tidak hanya tertumpu kepada aktiviti ekonomi tradisional seperti bertani dan menoreh getah atau nelayan bagi yang tinggal di pinggir pantai.

"Keusahawanan perlu menjadi kerjaya pilihan utama dalam bidang ekonomi berimpak tinggi yang akan menjadi sumber pendapatan berterusan dan seterusnya memberikan manfaat lebih meluas kepada penduduk luar bandar.

"Kerajaan memperuntukkan lebih RM10.9 bilion dalam Bajet 2023 iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB ) untuk memastikan infrastruktur luar bandar lebih baik," katanya pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa @ Bera, di Dataran Kerayong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Mini Karnival Usahawan Desa Bera ini menyasarkan 10,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM100,000 dengan pembabitan 60 usahawan desa.

Perdana Menteri berkata, Karnival Usahawan Desaantara program pemasaran KPLB bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan mengadakan platform mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta.

"Usahawan luar bandar akan dapat memanfaatkan kemudahan serta insentif yang disediakan kerajaan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu yang lebih luas.

"Penganjuran Mini KUD Bera ini diharap dapat mencapai objektif utamanya menjadi platform kepada usahawan luar bandar untuk memasarkan produk selain mewujudkan peluang akses pasaran kepada pemborong, pengedar dan pembeli," katanya.

Menurutnya, usahawan luar bandar sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana memiliki kepakaran, potensi dan kemudahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan pengunjung Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong, Bera. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan pengunjung Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong, Bera. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X