TUMPAT: Seorang warga emas yang leka berzikir sementara menunggu masuk waktu Asar, cemas apabila menghidu bau asap dari biliknya di Kampung Besut di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, Esah Harun, 85, yang tidak boleh berjalan kerana uzur, sempat diselamatkan anak dan cucunya yang mengusung warga emas itu keluar dari rumah.
"Kalau tidak, memang saya terperangkap kerana api marak dengan cepat," katanya di sini, hari ini.
Anaknya, Mohd Husin Yusof, 43, yang berada di bilik bersebelahan, terdengar bunyi letupan kecil beberapa kali sebelum keluar dan melihat dinding rumah sedang terbakar.
"Dia segera memanggil seorang cucu saya yang berada di luar rumah untuk sama-sama mengusung saya yang tidak mampu berjalan.
"Nasib baik kami sempat keluar menyelamatkan diri namun berasa sangat sedih kerana tinggal sehelai sepinggang dan hanya mampu melihat rumah milik anak perempuan hangus terbakar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Esah yang masih trauma berkata, selain barangan elektrik dan motosikal milik anak yang turut terbakar, sejumlah wang tunai yang disimpannya di dalam rumah juga hangus.
Kebakaran jam 3.50 petang tadi itu menyebabkan rumah yang dihuni Esah terbakar 95 peratus dan api turut merebak ke sebuah stor menyimpan keropok di belakangnya namun hanya memusnahkan sebahagian kecil premis sahaja.
Pemilik stor, Mat Zuki Che Cob, 60, berkata ketika kejadian dia berada di kilang memproses keropok tidak jauh dari lokasi dan dihubungi isteri mengenai kebakaran itu.
"Sebaik saya tiba, api sedang marak dan kelihatan rumah Mak Cik Esah sudah hangus manakala sebahagian stor menyimpan keropok milik saya sedang terbakar.
"Nasib baik bomba tiba agak pantas dan dengan kecekapan mereka, premis saya berjaya diselamatkan walaupun jumlah kerugian mungkin banyak kerana membabitkan binaan serta alat pendingin hawa tapi Alhamdulillah, saya masih mampu berasa lega," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang dan jentera pertama dari BBP Tumpat tiba sembilan minit selepas itu.
"Seramai 15 anggota dari BBP Tumpat dan Wakaf Bharu tiba di lokasi yang membabitkan rumah kediaman dengan 95 peratus kemusnahan.
"Api dapat dikawal pada jam 4.27 petang dan padam sepenuhnya satu jam selepas itu. Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.