Sabtu, 12 November 2022 | 9:59pm
SYAZWAN Najmi bersama anak kembarnya. - FOTO ihsan Syazwan Najmi Zulkarni
SYAZWAN Najmi bersama anak kembarnya. - FOTO ihsan Syazwan Najmi Zulkarni

'Bila Abi nak menikah?'

TUMPAT: "Rasa seperti nak tercekik dengar soalan spontan anak yang tiba-tiba bertanya bila Abi mahu bernikah," kata bapa tunggal, Syazwan Najmi Zulkarni.

Syazwan Najmi, 25, berkongsi reaksi itu susulan perkongsian video bersama dua anak kembar perempuan bertanya bila dia mahu berkahwin lagi yang dimuat naik di TikTok sehingga mendapat perhatian ramai.

Satu lagi video perkongsiannya yang memaparkan keletah anaknya berulang kali memanggil 'Abi' sebelum tiba-tiba memanggil ibu sambil memberitahu 'adik dan kakak rindu' turut meruntun hati warganet, baru-baru ini.

Pasangan kembar itu, Nur Medina Safiya dan Nur Medina Sofiya kini berusia dua tahun, kehilangan ibu, Siti Nur Nasuha Shafie, 25, yang meninggal dunia pada 14 April 2020.

Syazwan Najmi berkata, dua anak kembarnya memahami ibu mereka sudah meninggal dunia dan beliau kerap bercerita serta menunjukkan gambar arwah isterinya itu.

Katanya, Nur Medina Safiya yang mesra disapa kakak dan Nur Medina Sofiya yang dipanggil adik, petah bercakap dan selalu bertanya, namun belum pernah menyentuh mengenai perkahwinan.

"Video itu dibuat sementara menunggu emak membeli barang dan saya bersama dua anak bersembang dalam kereta.

"Tiba-tiba adik (Sofiya) tanya 'bila Abi nak nikah'. Saya sedang makan roti ketika itu terus rasa nak tercekik mendengar soalan spontannya.

"Walaupun terkejut, saya tergelak juga dan tanya dia siapa yang ajar cakap begitu tetapi dia jawab 'tak tahu'. Saya kemudian saja tanya nak Abi nikah ke tetapi dia jawab 'tidak mahu'," katanya yang tinggal di Kampung Pak Keral, di sini, ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau tidak menolak kemungkinan anaknya terdengar soalan sama daripada pelanggan dan rakannya yang menyebabkan mereka turut bertanya bila dia mahu berkahwin.

"Sebelum ini kalau ada rakan perempuan datang ke kedai makan kami dan bersembang dengan saya. mesti kakak dan adik akan tanya siapa, malah gayanya seperti cemburu.

"Memang ada fikir untuk diri dan anak tetapi buat masa ini fokus saya mahu membesarkan mereka dan mencari rezeki. Jodoh itu ketentuan Allah SWT, andai ada jodoh nanti adalah," katanya.

Mengenai video anaknya memanggil ibu sambil meluahkan rasa rindu, pengusaha kedai makan itu mengakui sedih, terutama melihat riak wajah dan mata dua anak kembarnya itu yang sarat dengan rindu.

Ketika itu, Syazwan sedang merakam video kedai makan dan dua anaknya itu sebelum mereka memanggilnya berulang kali ketika berada di tepi sungai berhampiran kedai.

"Apabila Sofiya cakap 'ibu, adik dan kakak rindu' memang membuatkan saya sedih. Anak yang tidak pernah jumpa ibu mereka rasa rindu, apatah lagi saya. Saya cuma boleh cakap nanti kita pergi dekat ibu (menziarah kubur).

"Safiya dan Sofiya tahu ibu mereka sudah tiada dan setiap kali lalu di perkuburan mereka akan cakap di sini ke ibu 'tidur'," katanya.

Siti Nur Nasuha meninggal dunia selepas dua minggu bertarung nyawa akibat komplikasi selepas bersalin.

Wanita itu yang melahirkan bayi kembar perempuan pada 31 Mac 2020 tidak sempat menatap wajah kedua-dua cahaya mata sulungnya kerana berada di unit rawatan rapi (ICU).

Berita Harian X