Sabtu, 12 November 2022 | 7:59pm
Tony Ng (dua dari kanan) dan Ronnie Mohamad (dua dari kiri) bergambar bersama Tan Sri Zainun Ali (tengah), Sim Pollen (kanan) dan kurator Galeri Prima, Azlinn Aziz, (kiri) ketika majlis perasmian pameran solo mereka di Galeri Prima, Bangsar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Tony Ng (dua dari kanan) dan Ronnie Mohamad (dua dari kiri) bergambar bersama Tan Sri Zainun Ali (tengah), Sim Pollen (kanan) dan kurator Galeri Prima, Azlinn Aziz, (kiri) ketika majlis perasmian pameran solo mereka di Galeri Prima, Bangsar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tony Ng, Ronnie Mohamad kongsi pentas pertaruhkan karya

KUALA LUMPUR: Dua pelukis moden dan kontemporari tempatan, Tony Ng dan Ronnie Mohamad, pertama kali berkongsi pentas dalam gabungan pameran solo hasil karya masing-masing di Galeri Prima, di sini.

Ng, 42, tampil dengan tema 'Ukiran' melalui 30 karya berasaskan batik dan ukiran, manakala Ronnie, 44, mempertaruhkan 12 karya dengan tema 'Playground' dalam pameran berlangsung sehingga 25 November ini.

Ng ketika ditemui berkata, pameran kali ini yang kedua bagi dirinya sepanjang bergelar pelukis dan sehingga kini, sembilan daripada 30 karya dipamerkan sudah terjual.

Ditanya mengenai karya beliau, katanya lukisan dihasilkan pada 2018 itu diinspirasikan daripada pemegang tangga di sebuah rumah Melayu di Seremban paling beliau gemari.

"Saya melakukan kajian terlebih dahulu, kemudian pergi ke rumah itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan ukiran. Elemen batik yang saya sertakan itu adalah hasil imaginasi saya.

"Saya mengambil foto ukiran pemegang tangga secara terperinci dan melukis semula di studio sebelum meneruskan penghasilan karya, ia mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan," katanya.

Bagi Ronnie pula, hasil karya bertemakan 'Playground' diilhamkan daripada kehidupannya sendiri, dengan kebanyakannya menggambarkan kehidupannya sejak kecil.

"Saya membuat kajian dan pergi ke beberapa negeri bagi mendapatkan gambaran lebih jelas bagi sesuatu keadaan.

"Setakat ini, saya berjaya menjual empat daripada 12 hasil karya saya di sini dan ia pencapaian amat membanggakan kerana saya bermula dari bawah dengan harga lukisan hanya RM40 sahaja," katanya.

Pameran solo Tony Ng dan Ronnie Mohamad di Galeri Prima, Bangsar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pameran solo Tony Ng dan Ronnie Mohamad di Galeri Prima, Bangsar. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Sementara itu, Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers, Sim Polenn, berkata tujuan dua pelukis itu digabungkan dalam pameran ini bertujuan menunjukkan perbezaan menerusi karya dihasilkan, selain menghargai penat lelah pelukis negara yang menghasilkan karya hebat.

"Kebanyakan hasil karya kini dipamerkan dalam talian, jadi kami mengambil inisiatif ini untuk memberi peluang kepada peminat dan orang ramai merasai dan melihat secara fizikal hasil karya terbabit," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pameran itu hari ini.

Berita Harian X